Wednesday 5 June 2013

Ikhlas Itu Apa...dan Bagaimana?

Saat membicarakan tentang hakikat kehidupan bahawa buat baik tidak semestinya dibalas dengan baik..dan hakikat bahawa adakalanya kebaikan dibalas dengan kejahatan, ramai yang memberi pendapat tentang ikhlas. Kata mereka, bilamana kita melakukan sesuatu dengan ikhlas, kita tidak perlu mengharapkan apa-apa balasan terhadap kebaikan kita itu. Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita mampu melakukannya? Kuatkah manusia biasa seperti kita untuk tidak mengharapkan apa-apa daripada kebaikan yang kita lakukan?

Saat persoalan ini menerjah ke minda, saya terus hanyut dalam keliru tentang ikhlas itu apa dan bagaimana? Tatkala membilang-bilang tentang kebaikan yang pernah dilakukan, saya menjadi gerun sendiri andai kebaikan itu tidak dibaluti oleh sebuah keikhlasan, yang memungkinkan saya jauh dari redha Tuhan.

Semua orang mampu bercakap tentang ikhlas. Saya juga boleh menasihati anda tentang ikhlas. Pandai sungguh kita menasihati orang tentang ikhlas. Tetapi saat terkena batang hidung sendiri, kita belum tentu mampu menghadapinya. Itulah harga sebuah keikhlasan. Terlalu mahal! Terlalu berat! Sehingga tidak semua daripada kita mampu melakukannya! Dan selalunya kita tertewas dengan emosi kita sendiri...dan akhirnya harga sebuah keikhlasan adalah air mata!

Siapa berani mengatakan bahawa ibu bapa mereka melakukan kebaikan kepada mereka tanpa keikhlasan? Termasuk saya, saya amat yakin kita semua akan mengakui hakikat betapa ikhlas dan luhurnya hati kedua ibu bapa kita terutamanya dalam membesarkan kita.Tetapi siapa antara kita berani mengatakan bahawa sesungguhnya ibu bapa kita tidak pernah mengharapkan apapun daripada kebaikan yang mereka lakukan?

Pastinya setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka menjadi orang berjaya. Anak mereka menjadi anak yang soleh. Anak mereka tidak melupakan mereka saat mereka telah tua. Anak mereka akan mendoakan mereka selepas mereka telah tiada. Walaupun pastinya mereka tidak mengharapkan anak-anak membayar segala kebaikan atau membalas dengan setimpal segala pengorbanan yang telah dilakukan, bukankah itu maksudnya mereka masih mengharapkan sesuatu? Dan adakah dengan mengharapkan sesuatu itu, mereka masih dikira ikhlas terhadap anak-anak mereka?

Seorang pendidik yang ikhlas, mendidik dengan penuh tanggung jawab. Tidakkah dia mengharapkan apa-apa daripada pelajar-pelajarnya? Pastinya seorang pendidik tidak mengharapkan pelajar-pelajar nya membalas atau membayar balik segala kebaikan yang dilakukan, tetapi tentunya dia masih mengharapkan sesuatu. Contoh, dia mengharapkan pelajarnya menjadi orang berjaya. Dia mengharapkan pelajarnya menjadi manusia berguna. Dia juga mengharapkan sekurang-kurangnya pelajar-pelajar itu tahu menghormatinya. Bukankah itu juga maksudnya pendidik tersebut masih mengharapkan sesuatu daripada kebaikan yang dilakukan? Dan dalam keadaan itu, adakah dia tidak ikhlas mendidik mereka?

Saat saya memperhalusi ikhlas itu apa dan bagaimana. Saya membuat kesimpulan ini: bahawa saya tidak sesekali menyangkal pendapat ramai yang mengatakan ikhlas itu adalah saat kita melakukan sesuatu kebaikan dan dalam masa yang sama tidak mengharapkan apa-apa daripada manusia, kecuali redha dan rahmatNya. Tetapi sejauh mana insan biasa seperti kita mampu melakukannya?

Berdasarkan pemerhatian saya ada beberapa tahap ikhlas pada diri seorang manusia. Tahap keikhlasan pertama adalah kita memberi tetapi tidak mengharapkan balasan yang sama seperti yang kita lakukan, tetapi kita masih mengharapkan sedikit penghargaan. Contoh, kalau saya memberi RM50 kepada seseorang yang dalam kesusahan dan sangat-sangat memerlukannya, saya tidak mengharapkan dia memberi balik RM50 tetapi cukuplah kalau dia boleh berterima kasih dan mungkin memberi sedikit senyuman tanda kesyukuran. Kalau kita dapat melakukan ini, kita sebenarnya lebih baik daripada orang yang memberi dan mengharapkan pulangan yang sama atau lebih.

Tahap ikhlas yang kedua adalah pada saat kita memberi dan langsung tidak mengharapkan apa-apa. Maksudnya kalau kita memberi RM50 tadi, dan orang yang menerima tersebut langsung tidak mengucapkan terima kasih dan tidak pula memberi senyuman, tetapi dalam masa yang sama kita pula boleh tersenyum tanpa ada perasaan apapun. Maka keikhlasan kita sebenarnya telah meningkat ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Tetapi...Tuhan sentiasa menguji hamba-hambanya yang ikhlas dan sabar. Saat kita mampu merealisasikan keikhlasan pada tahap yang kedua tadi, Dia memberi pula ujian yang lain. Masih mengambil contoh yang sama, orang yang menerima RM50 tadi bukan sahaja tidak berterima kasih malah dia membalas pemberian ikhlas tersebut dengan secawan racun yang bisa membunuh kita. Saat itu, keikhlasan dan kesabaran kita diuji pada tahap yang paling tinggi. Kita mungkin kecewa. Kita mungkin bersedih. Kadangkala kita seperti menyesal melakukan kebaikan tersebut dan pada saat ini sesiapa sahaja mampu tertewas dengan emosi sendiri.

Ujian sebegini sebenarnya terlalu berat untuk ditanggung oleh sesiapapun. Saat itu tidak ada apapun yang dapat dilakukan kecuali kembali kepadaNya. Bukankah Dia memberi sebegitu banyak ujian pada hamba-hamba yang disayangiNya? Dan akhirnya kita harus sedar tentang satu perkara ini, bahawa Dia sedang mengajar kita tentang IKHLAS, SABAR dan REDHA...yang pastinya mudah untuk disebut, tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan. -SI

Jangan sampai sedikit ujian menghalang kita untuk terus melakukan kebaikan.
(Harbour Town, Melbourne)

No comments:

Post a Comment