Monday 28 January 2013

Nota Hati Untuk Dia Yang Dicintai...

Sebentar tadi,  manusia yang paling saya cintai menelefon saya. Hmmm..sebenarnya saya bercakap dengan wanita ini hampir setiap hari sejak saya mula meninggalkan rumah saya (untuk menuntut ilmu) 13 tahun tahun yang lalu. Dialah sahabat. Dialah pendengar paling setia. Dialah segala-galanya buat saya.

Biarlah apapun pandangan orang kepada saya. Kutuklah saya. Panggillah saya anak emak sekalipun. Bagi saya siapa lagi yang paling layak saya cintai selepas Allah dan Rasulullah selain manusia yang satu ini. Yang telah memperjudikan nyawanya demi melahirkan saya. Yang telah gagal peperiksaan akhirnya semasa di universiti kerana mengalami alah yang teruk dek mengandungkan saya, sehingga terpaksa mengulang pada semester berikutnya.  Yang telah memandikan saya saat saya tidak berdaya menanggung sakit yang teruk. Yang telah menyapu ubat di badan saya. Yang setia memberi sokongan saat tiada siapapun yang percayakan saya. Yang telah berkorban apa sahaja selama ini untuk membesarkan saya. Yang rela menderita asal saya bahagia. Siapa lagi yang mampu lakukan, kalau bukan wanita kental yang satu ini!

Kenangan lalu berputar bagai roda di kotak fikiran saya. Terkenang saat saya memilih aliran bukan sains tanpa pengetahuannya semasa di tingkatan empat. Padahal dia adalah seorang guru pakar sains di sekolah yang sama. Saya tidak boleh bayangkan betapa luluh hatinya. Hancur  impian seorang ibu untuk melihat anak sulung menjadi doktor. Berkecai bagai kaca yang terhempas ke lantai. Sehingga dia akhirnya berbisik kepada saya, agar satu masa nanti tetap menjadi doktor, walaupun bukan seorang doktor perubatan.

Hmmm..saya yakin kalau ingin ditulis di sini tentang kisah-kisah bagaimana saya menyakiti hatinya dulu...seluruh blog ini akan hanya menceritakan kisah itu. Itulah seorang anak. Tidak pernah sepi daripada menyusahkan seorang ibu. Tetapi dia...dia tidak pernah berubah. Kasih sayangnya tidak pernah pudar. Bahkan semakin mekar..dari hari ke hari.

Melihat ke depan, saya menjadi risau sendiri. Saat saya melihat ke belakang dan menghitung setiap satu kebaikan ibu terhadap saya, saya menjadi risau....gusar...andai saya tidak sempat membalas jasanya. Pada Allah saya selalu memohon, agar saya terus diberi kesempatan untuk melakukan yang terbaik demi dia selagi saya dan dia masih diberi nafas untuk terus melangkah di atas muka bumi ini. Kerana saya tahu, satu masa nanti saat Tuhan menjemputnya pergi buat selama-lamanya...selain doa, tiada apapun yang bermakna lagi. Dan saya tidak mahu menyesal di kemudian hari kerana tindakan yang saya lakukan hari ini.

Hakikatnya hubungan seorang ibu dan anaknya terlalu istimewa. Apa yang dapat memisahkan hubungan seorang anak dan ibunya walaupun penghujung sebuah kehidupan adalah kematian. Seorang lelaki  boleh mencari seorang isteri. Kalau berkemampuan dia boleh berpoligami. Kalau ditakdirkan berpisah dia boleh berkahwin lagi. Kalau ditakdirkan mati dia boleh mencari ganti. Tetapi seorang ibu, tiada duanya. Dialah ibu kita sampai bila-bila. Dialah permata. Dialah syurga. -SI

Siapa lagi yang layak untuk dicintai selepas Allah dan Rasulullah...
(Madinah Al-Munawwarah)






Wednesday 23 January 2013

Hakikatnya...Perkara Yang Baik Sukar Dilakukan!

Sesungguhnya...perkara yang paling sukar dilakukan dalam hidup ini adalah perkara yang baik! Sama ada anda bersetuju atau tidak...hakikatnya begitulah...

Teringat zaman-zaman belajar, bila dalam kelas terasa mengantuk. Yang peliknya, habis sahaja kelas terus segar bugar. 

Bila study pula terasa letih teramat, bila online, gaming, menonton movie...sampai lewat malam pun tidak mengapa.

Bangun pagi untuk menunaikan solat subuh..hmmm...beratnya macam dihempap batang balak di atas badan. Tapi kalau bangun lambat, sampai matahari tegak di langit tidak mengapa.

Menerima pemberian orang, senyum sampai ke telinga. Tetapi, diri sendiri kedekut teramat hanya Tuhan yang tahu. 

Kalau susah dan kawan tidak menolong...marah! Tetapi bila kawan meminta tolong tidak pula ditolong.

Situasi-situasi di atas hanyalah beberapa contoh betapa kita selalu mengharapkan yang baik-baik, tetapi amat sukar untuk kita melakukan perkara yang baik.

Hakikatnya...melakukan perkara yang baik tidak perlu menunggu mood atau keikhlasan. Kerana mood dan keikhlasan untuk melakukan perkara yang baik itu hadirnya tidak setiap masa.

Banyak juga perkara yang baik kita lakukan, bukanlah kerana kita ingin lakukan sangat, sebaliknya  lebih merupakan sebuah tanggung jawab untuk dilaksanakan.

Maka, melakukan apa sahaja perkara yang baik ini sebenarnya memerlukan istiqamah yang tinggi. Moga-moga dari hanya sebuah tanggung jawab dan keterpaksaan, lama kelamaan timbullah keikhlasan dari hati atas rasa cinta kepadaNya. -SI






Wednesday 16 January 2013

Yang Suka Bercakap V. Yang Tidak Mahu Mendengar

Dalam banyak-banyak perkara yang dikaitkan dengan kes 'Bawani V Sharifah Zohra' yang menurut saya lebih hangat daripada kes-kes lain termasuk kes kalimah 'Allah' yang nampaknya masih belum ada 'ending' yang jelas dek kedua-dua pihak yang bersetuju dan yang tidak bersetuju mempunyai alasan masing-masing yang agak kukuh, saya amat tertarik untuk membincangkan perkara yang satu ini, bahawa terdapat dua kelompok masyarakat hari ini yang dipisahkan oleh faktor generasi yang berbeza. 

Kumpulan pertama iaitu golongan muda yang saya perhatikan sekarang amat suka bercakap dan melahirkan apa sahaja yang mereka rasa. Mereka kadangkala tidak berfikir terlebih dahulu dan kerap juga melanggar peraturan atau undang-undang yang sewajarnya. Bagi mereka 'law is made to be broken'. Mereka suka mempertahankan apa sahaja yang mereka rasakan betul, walaupun sebenarnya banyak juga yang tidak betul. Mereka mahu didengari daripada mengikut semata-mata.

Kumpulan yang kedua pula adalah golongan yang tidak muda...hmmm..mungkin juga tua. Mereka adalah generasi yang lebih awal. Selalu merasakan apa sahaja yang mereka buat itu betul atas dasar kononnya mereka telah makan garam terlebih dahulu. Mereka juga gemar bercakap dan mengarah. Bagi mereka, tujuannya adalah baik. Mereka mahukan yang terbaik untuk golongan muda. Selalunya mereka gagal memahami dan mendengar rintihan hati golongan muda. Mereka sentiasa mahukan golongan muda mendengar seterusnya mengikut apa sahaja yang mereka katakan tetapi dalam masa yang sama mereka gagal menjadi pendengar yang baik.

Maka....berlakulah pertembungan antara dua golongan ini.  Golongan pertama iaitu yang suka bercakap serta mahu didengari dan golongan yang kedua, iaitu yang juga suka bercakap serta mengarah tetapi tidak mahu mendengar. Akhirnya ia menjadi tragedi yang amat dasyat yang kadangkala tidak berkesudahan dan mampu memusnahkan sesebuah institusi seperti kekeluargaan, pekerjaan mahupun negara.

Saya merasakan jurang antara dua golongan ini harus dikecilkan. Golongan muda seharusnya bertindak menggunakan akal yang lebih waras, bukan mengikut rasa semata-mata. Bercakap menggunakan minda yang lebih bernas dan dalam masa yang sama hormat pada golongan yang lebih tua. Mereka harus faham bahawa bukan semua perkara yang mereka minta harus ditunaikan. Golongan ini juga harus belajar untuk lebih beradab dan sopan dalam menzahirkan apa sahaja yang mereka rasa.

Dalam masa yang sama golongan yang lebih tua pula seharusnya juga bertindak menggunakan akal yang bernas dan waras. Mereka harus belajar untuk lebih banyak mendengar daripada hanya bercakap dan mengarah semata-mata. Mereka harus memimpin golongan muda dengan rasa kasih, hormat dan dalam masa yang sama meraikan apa sahaja pandangan golongan muda. Harus diingat disini, meraikan bukan bermakna harus ditunaikan apa sahaja permintaan mereka. Sekiranya baik, apa salahnya diturutkan. Sekiranya tidak, bolehlah kiranya diberi penjelasan. 

Carilah titik pertemuan dan persefahaman di antara dua golongan ini. Kalau ada yang salah, tegurlah dengan penuh hikmah dan rasa tanggungjawab. Kerana hakikatnya yang tua dan yang muda saling melengkapi. Yang tua harus ingat, mereka juga pernah muda dan yang muda harus ingat mereka juga akan tua. -SI



Saturday 5 January 2013

Telah Kukatakan Padamu...

Telah kukatakan berkali-kali padamu...
bahawa hidup ini adalah sebuah cerita yang di dalamnya ada pelbagai rencah...
suka, duka, tangis, tawa, kejayaan...hatta kekalahan dan kegagalan juga adalah antara warna yang mencorakkan hidup ini....

Kerana seperti yang aku katakan dulu padamu...bahawa hidup ini bukan sebuah ceritera dongeng mengenai yang indah-indah sahaja...

Saat engkau terasa hidup ini payah..percayalah padaku bahawa itulah hidup...
Saat engkau terasa hidup ini sukar...dengarlah padaku bahawa itulah hidup...
Saat engkau terasa begitu banyak cabaran dan dugaan yang harus kau tempuh...aku harap kau masih ingat pesananku...itulah hidup...

Tetapi...

Setelah begitu banyaknya pesanan kutitipkan padamu...aku menjadi hairan sendiri kerana engkau masih lagi menangis mengira nasib hidupmu...

Setelah begitu banyaknya nasihat ku berikan padamu...aku menjadi hairan sendiri saat engkau terus-terusan mengira ujian dan kepayahan hidupmu...

Setelah begitu banyaknya cerita tentang hidup kuceritakan padamu...aku menjadi hairan sendiri bahwa engkau masih tidak mengerti apa itu hidup...

Ingin aku ulang untuk kesekian kalinya...yang payah-payah itulah hidup...

Dan telah kukatakan padamu bahawa...

Engkau punya pilihan...

Menjadikan dugaan itu sebagai sesuatu yang membakar semangatmu untuk lebih berjuang...
atau...
engkau akhirnya tunduk...kaku...menjadi batu...lemah lesu...dan terus tidak melangkah ke depan lagi...

Engkau punya pilihan...

Mencari jalan mengatasi ujian dan cabaran hidupmu...
atau...
memilih untuk terus duduk mengira nasib dan takdir...dan terus tidak melangkah ke depan lagi...

dan...aku masih hairan sendiri kerana setelah begitu banyaknya nikmat yang Tuhan berikan..sedikit ujian dariNya itulah yang engkau pertikaikan..seolah-olah engkau terlalu sempurna dan tidak layak diberi dugaan...

dan aku beristighfar sendiri...untuk kesekian kalinya...
kerana aku masih hairan lagi pada saat begitu banyaknya nikmat yang Tuhan berikan..yang tidak pula engkau syukurkan..yang masih dibilang-bilang adalah tentang hasratmu yang tidak Dia tunaikan...

dan aku terus hairan sendiri....
memikirkan betapa sukarnya mendamaikan engkau...
wahai HATI...

-SI