Wednesday 15 May 2013

Dia bukan lilin...Tetapi dia matahari...SELAMAT HARI GURU BUATMU!!!

Sebenarnya tidak banyak perkara menarik untuk saya kenang saat mengimbau kenangan zaman persekolahan dan universiti dulu. Ada orang mengatakan zaman persekolahan adalah yang paling indah. Bagi saya tidak! Malahan zaman menghabiskan ijazah pertama juga tidak begitu menarik untuk dikenang kecuali semasa saya mewakili Malaysia dalam festival teater peringkat Asia Pasific. Puas..kerana berjaya mendapat sijil setinggi itu untuk resume peribadi (walaupun hanya sekadar berlakon). Alhamdulillah...

Bagi saya, saat yang paling indah adalah semasa saya menyambung pengajian master sambil bekerja sebagai pensyarah di INTEC UiTM. Terlalu sukar! Tapi...terlalu indah kerana dua sebab. Pertama, membuat master adalah pilihan saya sendiri. Kedua, saya menamatkan master dengan keputusan yang sangat cemerlang walaupun terpaksa menempuh pelbagai kepayahan. Kerana pada ketika itu saya melakukan tiga kerja pada masa yang sama: pensyarah sepenuh masa, warden kolej dan pelajar. Gila! Memang gila... sehingga kalau anda menyuruh saya mengulangi semua itu...saya tidak akan sanggup! :p (Nasib baik sekarang saya student sepenuh masa...hehe...p/s thanx uitm) 

Tapi...ada satu perkara yang tidak mungkin boleh saya lupa sampai bila-bila...tentang betapa baiknya pensyarah-pensyarah dengan saya suatu ketika dulu. Mungkin tidak semua. Tapi beberapa orang itulah yang telah memberi kesan yang sangat besar kepada keseluruhan hidup saya. 

Pernah satu ketika, saya menghadapi masalah kewangan. Hmmm..sebenarnya keluarga saya agak susah masatu. Adik beradik ramai. Semua masih belajar. Saya pula anak sulong. Saya pernah tidak ada duit walaupun untuk membeli sepinggan nasi. Nak call mak di kampung, saya tidak sanggup. Sebab saya tahu, dia juga menghadapi masalah yang sama. Saya menebalkan muka berjumpa dengan seorang pensyarah ini. Saya memberitahunya apa yang berlaku dan menyatakan hasrat saya untuk meminjam RM30. Cukuplah untuk belanja sampai hujung minggu. Tanpa bertanya banyak, beliau memberikan saya RM50. Saya berjanji akan membayar balik dengan segera.

Minggu berikutnya, setelah mempunyai duit. (Saya sebenarnya banyak membuat kerja part time. Mengajar di rumah orang dan menjadi fasilitator untuk kem motivasi). Saya berjumpa pensyarah tersebut. Saat saya mengeluarkan duit RM50 untuk dipulangkan kepada beliau, beliau sambil tersenyum mengatakan kepada saya " Saya telah halalkan duit tu pada saat saya memberikannya kepada awak." Walaupun saya mendesak agar dia menerima. Dia tetap berkeras supaya saya menyimpan duit tersebut. Allahurabbi...Pada petang yang damai itu, saya menahan air mata daripada gugur walaupun hati saya teramat sebak hanya Tuhan yang tahu...sebak kerana Tuhan mentakdirkan saya mengenali manusia semulia itu. 

Beliau memang berbeza. Bagi saya beliau bukan sekadar seorang pensyarah universiti yang hebat. Tetapi seorang pendidik yang melihat anak didiknya bukan sekadar dengan mata...tetapi dengan hati yang ikhlas. Kadang-kadang kerana terlalu baik itu beliau ditohmah. Tetapi beliau tidak pernah berubah. Terus membantu dan menyokong pelajar-pelajarnya. Kental jiwanya walau beliau seorang wanita!

Sebenarnya itu hanyalah sekelumit daripada begitu banyaknya kisah kebaikan pensyarah dan pendidik kepada saya. Sehingga pada saat saya menjadi pensyarah. Saya seperti berjanji kepada diri saya sendiri untuk melakukan perkara yang sama. Mendidik dari hati yang ikhlas...Melangkaui hanya sekadar bergelar seorang pensyarah. Itu janji saya. Dan itulah yang sedang saya usahakan.

Sehingga ke saat ini. Itulah perkara paling manis sepanjang saya bergelar pelajar. Ramai pendidik yang begitu baik dan mengambil berat tentang saya. Padahal saya bukan siapa-siapa pada masa itu. Tidak ramai yang nampak potensi saya. Saat saya menceritakan kepada mereka betapa tingginya cita-cita saya untuk satu masa juga mempunyai PhD seperti mereka. Mereka terus memberi sokongan tanpa rasa sangsi. Dan semangat itulah yang telah membawa saya hingga ke sini hari ini. Syukur alhamdulilah.

Sempena hari guru/pendidik tahun ini. Saya ingin sekali merakamkan jutaan terima kasih buat mereka yang telah menjadi sebahagian daripada kisah perjuangan saya. Pensyarah-pensyarah di universiti. Guru-guru di sekolah menengah dan rendah. Dan supervisor PhD saya yang amat berdedikasi. Saya tidak mampu membalas segala kebaikan. Tapi saya pasti Allah akan memberi kebaikan dunia dan akhirat buat anda semua.

Bagi saya pendidik yang baik itu bukanlah seperti lilin! Kenapa perlu jadi lilin yang perlu membakar diri dan berkorban sehingga hangus dan hilang. Pendidik yang baik sebenarnya adalah seperti matahari. Cahayanya melimpah pada saat kita memerlukan. Dia mungkin hilang seketika. Tetapi ada saat dan ketikanya...dia muncul kembali!

P/S :-
1) Dalam banyak-banyak tips untuk berjaya dalam pelajaran, perkara yang satu ini tidak harus kita abaikan. Bahawa keberkatan ilmu itu terletak pada bagaimana kita menghormati dan memuliakan seorang pendidik. 

2) Terima kasih Prof. Madya Dr. Ramizah Wan Muhammad. Saya mungkin tidak berkesempatan lagi untuk memulangkan RM50 tersebut. Tapi saya amat yakin, Allah pasti akan membalasnya dengan ganjaran kebaikan dunia dan akhirat. Teruslah menjadi berbeza. Kerana perbezaan itulah yang membuatkan anda istimewa kepada orang yang bisa melihat menggunakan mata hati. -SI

Dan sinarnya tidak pernah hilang... (Perth, Western Australia)

1 comment:

  1. Well said����..

    semoga Tuan kembali menyambung menulis di blog untuk rujukan ummah��🙂

    ReplyDelete