Tuesday 24 September 2013

Kuching, Sarawak... The Touch of Afiskandar (First Episode)

Photographed: Afiskandar * Models: Ann, AFI, SI, Dora.

The Real Love

The Ladies on the Street, Serikin.

The Indo Petai

The Proud Man

The Most Handsome Photographer

...and the heat is not the barrier

The Colourful Kasuts

The Telekung's Lady


Obat Kuat

The Indo Instruments

The Kasuts


...and finally the Photographer had to photograph himself 

The Happy Man in Serikin

Faces of Serikin

The Smiles of Serikin

The Man who lost his wife...

The Little Dora

Sarawak River at Night

The Penambang, Sarawak River...
The Humble Gentleman

The Ordinary Man

The Most Beautiful Sarawakian


The Siblings' Stories

The Man with the Sarawak's Landmark
The First Kiss


The Last Hugs...

Friday 19 July 2013

Pemuda Palestin Itu...

Masjidil haram, Makkah. 

Entah kenapa tiba-tiba aku terasa ingin menunaikan solat maghrib di tingkat bawah masjid yang penuh barakah ini. Padahal aku sudahpun berada di tingkat dua, seperti malam-malam sebelumnya. Lantas aku terus mencari tangga berdekatan untuk turun ke bawah. Aku seperti ingin terus menatap kaabah pada malam yang damai itu. Lalu aku mencari posisi terbaik dengan pandangan kaabah yang indah. Allhamdulillah, hajat pada malam itu dikabulkan. 

Saat selesai menunaikan solat sunat selepas maghrib, aku terperasan kehadiran seorang pemuda arab yang duduk disebelahku. Matanya yang sayu seakan-akan berkaca seperti memaksaku untuk menegurnya. Raut wajahnya yang tenang dan bersih tetapi seperti memikirkan sesuatu menimbulkan persoalan yang bukan sedikit di mindaku. Namun, dia seperti dingin pada sesiapapun. Dia seperti sedang berada dalam dunianya sendiri. Membatu. Seakan lesu. Seperti sedang memikirkan sesuatu yang berat, sarat dan tiada jawapannya. Misteri...

Kerana persoalan yang sebegitu banyak menerjah ke mindaku, aku beranikan diri menegurnya. Aku    memulakan perbualan dalam bahasa Inggeris dengan harapan dia juga boleh berbahasa inggeris atau sekurang-kurangnya faham apa yang aku perkatakan. Alhamdulillah, saat aku bertanya dari mana asalnya, dia dengan pantas memberitahuku bahawa dia dari Gaza, Palestin. Bahasa Inggerisnya baik sekali. Aku semakin teruja untuk mengetahui siapa sebenarnya pemuda Palestin itu dan gerangan apakah yang mengganggu fikirannya ketika itu.

Kami memulakan perbualan dengan memperkenalkan diri masing-masing. Seperti aku, dia juga sangat teruja untuk mengenaliku saat aku memberitahunya aku dari Malaysia. Katanya, nama Malaysia terlalu harum di bumi Gaza. Hampir semua orang Palestin mengenali Malaysia dan mengetahui tentang luhurnya hati sebilangan besar rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong perjuangan mereka di bumi Gaza. Aku tersenyum bangga.

Seterusnya dia memperkenalkan dirinya. Dia meminta aku memanggilnya Mohammed. Nama penuhnya Mohammed Fadhil Al-Qudairi.  Pelajar tahun empat jurusan perubatan di sebuah universiti di Palestin. Umurnya baru 21 tahun. Namun, dia kelihatan lebih matang berbanding usia sebenarnya. Katanya itu pertama kali dia ke luar negara. Bersama-sama dua lagi rakan sekelas, mereka mengikuti rombongan umrah bersama jemaah-jemaah lain dari Gaza, Palestin.

Tanpa ditanya, Mohammed membuka cerita. Menurutnya, hari itu merupakan hari ke 18 dia di situ. Padahal visanya telahpun tamat. Sebenarnya bermula tahun ini kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan jemaah umrah berada di Makkah dan Madinah tidak lebih 15 hari. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Telahanku mungkin kerana projek-projek pembesaran masjid yang sedang giat dijalankan memaksa mereka mengehadkan jumlah jemaah ke situ. Aku tidak pasti.

Aku terus tertanya lagi, kalau sudah lebih masa kenapa dia masih di Makkah? Kenapa tidak pulang lebih awal ke Palestin?

Mohammed meneruskan ceritanya. Menurut pemuda ini, satu-satunya jalan ke luar dari Gaza adalah melalui pintu Rafah di sempadan Gaza-Mesir yang dibuka sejak pemerintahan Dr Morsi. Maka ramai penduduk Gaza mengambil peluang untuk menunaikan umrah sejak sempadan tersebut dibuka. Dari Rafah, mereka menaiki bas lebih kurang satu jam ke lapangan terbang negara Mesir yang paling hampir. Dari situ, mereka mengambil penerbangan terus ke Jeddah yang mengambil masa tiga jam.

Lalu aku teringat beberapa hari sebelum itu aku terdengar berita huru-hara di Mesir. Tetapi setahuku ia berlaku di Kaherah. Jadi apa kaitannya dengan rombongan Mohammed yang terkandas di Makkah?

Kata Mohammed, huru-hara yang asalnya hanya di Kaherah telah merebak ke serata Mesir. Kawasan sekitar lapangan terbang berhampiran Rafah tersebut juga antara kawasan yang terjejas teruk. Maka ia terpaksa ditutup. Selagi ia tidak dibuka, rombongan Mohammed tidak dapat pulang ke Gaza. Lagipun, pintu sempadan Rafah juga ditutup sejak kejatuhan Dr. Morsi. Kalau sekalipun Mohammed boleh sampai ke Mesir. Dia dan rombongannya mungkin terkandas lagi di lapangan terbang itu.

Ya Allah, aku tidak pernah pernah terfikir ketidakstabilan dan kacau bilau di Mesir memberi kesan secara langsung kepada Gaza. Ya, memang aku akui kurang mengambil tahu tentang isu itu sebelum ini.  Terlalu sibuk dengan urusan pengajian  sehingga derita saudara sendiri tidak diendah. Ah, tiba-tiba sekelumit rasa sesal menyelinap masuk ke lubuk hatiku. Ya Allah ampunkan aku.

Lalu apa perancangan Mohammed dan rombongannya?

Saat aku mengajukan soalan itu kepadanya, dia tiba-tiba terdiam. Matanya berkaca lagi. Dia memandangku dengan pandangan yang penuh sayu.  Katanya dia tidak tahu. Pada saat dan ketika itu, tidak ada apa yang boleh dilakukan selain berdoa...berdoa..dan terus berdoa. Hanya Allah yang mampu menghadirkan keajaiban pada saat yang rumit sebegitu.

Ya Allah....sukarnya menjadi engkau wahai Mohammed. Begitu sekali ujian buatmu saat engkau berada di bumi suci ini. Aku terdiam. Mengalih pandanganku ke arah kaabah. Menahan air jernih dari gugur.  Aku terfikir, ada kalanya aku juga tertewas dengan emosi sendiri saat dilanda musibah dan ujian. Namun, saat melihat orang lain yang ditimpa ujian yang jauh lebih dasyat, aku insaf sendiri. Jauh di sudut hati, aku bersyukur kerana tidak pernah dilanda ujian seberat itu. Syukur. Terlalu syukur.

Tidak mahu memanjangkan rasa sebak yang semakin menghimpit kami berdua. Aku mula menukar cerita. Perbualan kami seterusnya berkisar tentang pengajian masing-masing. Seperti aku yang kagum dengan kehebatanya menjadi antara sekelumit yang berjaya mengikuti pengajian perubatan di universitinya, Mohammed juga kagum denganku yang sedang melanjutkan pengajian PhD. Katanya, aku nampak terlalu muda untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat itu. Hmmm..aku tersenyum sendiri dengan pujian ikhlas daripada dia.

Menurut Mohammed, kehidupan rakyat Palestin di Gaza semakin tersepit. Peluang pekerjaan sangat sedikit. Tapi katanya, dia masih dikira bernasib baik.  Perubatan masih dikira bidang yang amat kritikal di sana. Hmm...mungkin faktor negara yang sering bergolak dan berperang. Ramai mangsa yang perlu dirawati. Maka pegawai perubatan sentiasa dikehendaki. Itu membuatkan dia sentiasa bersemangat untuk berjuang. Belajar untuk menjadi doktor yang hebat supaya satu masa dapat membantu bangsanya sendiri. Itu matlamat dia. Dan aku dapat melihat keihklasan itu terpancar dengan jelas dari matanya yang hening itu.

Sungguh hidup ini sebuah perjuangan! Saat aku melontarkan pandangan aku tentang itu, dia tersenyum sendiri. Dia tertarik dengan pandanganku tentang hidup. Katanya dia juga berpandangan begitu. Namun aku tidak terkejut dengan semangat juang anak muda ini. Sejak lahir sehinggalah ke saat dia meninggalkan Gaza, bunyi bom dan dentuman senjata di udara Palestin bukanlah sesuatu yang asing baginya. Padanlah semangatnya untuk berjuang tidak pernah padam, tidak pernah pudar.

Bagi Mohammed, dia tidak pernah takut akan kematian. Yang dia takut, adalah mati dalam keadaan yang sia-sia. Dia mahu terus berjuang. Andai syahid penentu jalan hujung hidupnya, dia redha. Itupun yang dia cari. Namun katanya, andai diberi keizinan, dia ingin sekali hidup lebih lama. Supaya dapat menamatkan pengajian dan seterusnya mencurah bakti pada anak bangsanya sendiri. Dia ingin melihat Gaza kembali aman. Dia ingin bersama-sama membangunkan negara yang tidak pernah diiktiraf sebagai negara itu.

Aku terus mendengar keluhan hati anak muda itu. Kaabah yang suci menjadi saksi kejujuran dan keihklasan hatinya menzahirkan hakikat sebuah perjuangan. Saat dia terus bercerita tentang hakikat hidup dan perjuangan itu, aku mula terbayangkan anak bangsaku di tanah air. Aku menjadi sebak sendiri, tatkala memikirkan tentang anak bangsaku yang hanyut tanpa pegangan hidup. Lemas tanpa arah tujuan yang jelas. Alpa dan lalai tentang tanggung jawab yang seharusnya mereka pikul! Mereka tidak serius dengan apa yang mereka lakukan. Hatta pelajar-pelajar di universitipun ramai yang terlalu leka dan tidak betul-betul bersemangat untuk belajar. Ramai yang tidak mengambil berat tentang hakikat bahawa belajar adalah sebuah tanggungjawab yang harus diperjuangkan. Demi bangsa dan agama. Demi masa depan yang lebih baik! Bagi mereka, ia adalah perkara remeh yang perlu dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga.

Maaf, aku tidak tuduh melulu. Itu yang aku perhatikan sepanjang lebih tujuh tahun bergelar pendidik. Aku melihat banyaknya manusia yang tidak pernah serius dengan tanggungjawab mereka. Aku melihat manusia-manusia yang khayal dengan hidup tetapi tidak pernah memikirkan hakikat kenapa mereka diberi sebuah kehidupan...

Sungguh, ramai kalangan kita yang tidak pernah faham hakikat sebuah perjuangan. Kerana apa? Kerana kita tidak dihidangkan dengan bunyi dentuman bom sebagai halwa telinga. Kerana ramai kalangan kita tidak pernah susah sehingga tidak tahu menghargai kesenangan. Ramai yang tidak pernah diuji dengan ujian yang berat-berat sehingga tidak pernah merasakan hakikat sebenar pengorbanan dan perjuangan.

Saat aku menceritaan tentang hakikat ini kepada Mohammed, dia seperti tidak percaya. katanya pemuda-pemuda Islam semuanya kuat, kental dan bersemangat. Mereka bertanggung jawab dan sanggup berjuang demi masa depan yang lebih baik. Mereka sanggup berkorban demi bangsa, agama dan negara.

Aku memandang ke arah kaabah lagi. Di dalam hati aku bermonolog sendiri....

"Mohammed oh Mohammed. Itu mungkin engkau dan teman-temanmu di Gaza. Tapi tidak buat kami di Malaysia. Ada kalangan kami yang faham tentang hakikat hidup adalah sebuah perjuangan wahai Mohammed. Namun lebih ramai sebenarnya yang tidak pernah peduli tentang itu.

Wahai Mohammed, kalaulah anak bangsaku mengerti apa yang engkau alami, pasti mereka akan lebih faham apa itu perjuangan. Kalaulah anak bangsaku merasai apa yang engkau alami pasti mereka akan lebih memahami hakikat sebenar hidup ini.

Wahai Mohammed. Saat aku mula memahami hakikat perjuangan bangsa Palestin di Gaza, aku mula malu sendiri! Aku malu sendiri! Aku malu Mohammed! Aku malu kerana perjuanganku sebenarnya terlalu kecil dan kerdil berbanding perjuangan besar lagi getir bangsamu itu."

Dan malam yang penuh barakah itu berakhir dengan sebuah hikmah yang sungguh menyentuh hatiku. Kami berjanji untuk bertemu lagi esok hari selepas solat zuhur. Ada banyak perkara yang perlu diperbincangkan antara aku dan sahabat baruku itu. Ada banyak persoalan tentang perjuangan rakyat Palestin di mindaku yang memerlukan jawapan dari orang asal Gaza sendiri.

Mohammed...jangan lupa janji kita esok! -SI

Tuhan..izinkan aku untuk terus berjuang atas nama cintaku kepadaMu...

GAZA


Friday 21 June 2013

Percutian di Bali... Unik & Artistik

Ramai yang bertanya tempat percutian mana yang pernah saya pergi, tetapi ingin pergi lagi. Di asia tenggara, jawapan saya masih sama - Bali. Tempat yang ingin saya pergi berkali-kali. Buat yang pernah ke sana, pasti tahu kenapa. Saya sebenarnya sangat suka gabungan elemen air (laut), seni dan keunikan orang-orang Bali sendiri yang tidak terdapat di mana-mana. Gabungan ini menjadikan Bali sungguh unik, artistik dan eksotik. Tidak hairanlah ia menjadi pilihan berbulan madu bagi ramai pasangan yang baru berkahwin.

Bali sebenarnya agak besar. Pastinya lebih besar daripada Pulau Langkawi. Apa sahaja yang anda inginkan untuk sebuah tempat percutian pastinya boleh anda temui di sini. Daripada kesibukan Kuta dan Denpasar yang seringkali macet (jam), juga pelbagai keindahan seni kraft dan lukisan yang boleh diperolehi di Ubud dan hampir di keseluruhan tempat-tempat tumpuan pelancong di Bali, juga kedamaian dan ketenangan di sesetengah pantai yang lebih privacy, anda juga boleh berscuba diving, snorkelling dan melihat berpuluh-puluh dolphin liar Lovina. Pastinya pengalaman bangun seawal jam 4 pagi semata-mata untuk mengejar sang dolphin di tengah laut akan menjadi kenangan yang cukup indah untuk di kenang sampai bila-bila.

Oh yaaa, jangan lupa menikmati seafood sambil melihat sunset di Jimbaran Bay. Suasana yang sunguh-sungguh romantik dengan makanan yang lazat, pasti membuatkan anda ingin kembali ke sini!!

Kalau ditanya tentang bajet, saya berani jamin semua golongan mampu ke sini. Bagi yang bag packers dan sangat concern pasal bajet, Bali sebenarnya menjanjikan percutian yang sangat menjimatkan andai anda bijak dalam mengatur perbelanjaan.

Contohnya percutian pertama saya ke Bali hanyalah menelan perbelanjaan RM500 (Flight+Hotel(3stars)+pengankutan) untuk 4 hari 3 malam. Harus diingat, semuanya bergantung kepada  brapa harga tiket flight anda. Rancanglah lebih awal dan sentiasa alert dengan jualan-jualan murah Air Asia mahupun MAS. Kalau bernasib baik, anda mungkin berjaya mendapatkan tiket serendah RM75 return. Btw tiket flight percutian pertama saya ke sana hanyalah RM110 return all in (termasuk makan dan check in bag). Murah kan?? :D

Hmm..tapi kalau anda ada bajet lebih, saya mencadangkan anda menggunakan perkhidmatan MAS, sbb dengan MAS anda akan dpt makan free, minuman-free flow, check in bag 30kg, dan yang paling penting bag kat tangan tu, diorg tak berkira sgt macam AIR ASIA...too much of hassle flying with AIRASIA lately...try ur best to avoid this airlines!!! haha :P

Barong Dance

Barong Dance

Rice Terrace

Rice Terrace
Wanita-wanita Bali sangat terkenal dengan keupayaan mengimbang
barang-barang di atas kepala seperti ini.

Tasik Kintamani kesan gunung berapi.

Tirta Empul Temple

The famous Kuta Beach

Tanah Lot Temple

Krishna, quite latest attraction for affordable shopping in Bali.

Uluwatu
Bali Dream Villa (Private Pool in the Room)





Padang-Padang Beach, one of the locations for the movie 'EAT RAY LOVE'.

Menjejak Dolphin di Lovina
Legian Beach
Rice Terrace.
Snorkelling di Lovina





Tips SI: Kalau anda nak jimat kos, dicadangkan ambil hotel sekitar Kuta. Tak perlu teksi untuk bersiar-siar membeli belah. Tapi bagi yang gemar percutian lebih privacy Kuta mungkin tidak sesuai buat anda. Hotel pula anda boleh membuat tempahan melalui agoda.com. So far, saya amat berpuas hati dengan website ini dan review nya pun agak reliable. Untuk pengangkutan anda boleh hubungi Pak Wayan Redita di talian ini +6287762924000.  Minta harga special drpd dia. He is nice! So apa lagi, selamat menikmati Bali semaksimumnya!!!!


Wednesday 5 June 2013

Ikhlas Itu Apa...dan Bagaimana?

Saat membicarakan tentang hakikat kehidupan bahawa buat baik tidak semestinya dibalas dengan baik..dan hakikat bahawa adakalanya kebaikan dibalas dengan kejahatan, ramai yang memberi pendapat tentang ikhlas. Kata mereka, bilamana kita melakukan sesuatu dengan ikhlas, kita tidak perlu mengharapkan apa-apa balasan terhadap kebaikan kita itu. Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita mampu melakukannya? Kuatkah manusia biasa seperti kita untuk tidak mengharapkan apa-apa daripada kebaikan yang kita lakukan?

Saat persoalan ini menerjah ke minda, saya terus hanyut dalam keliru tentang ikhlas itu apa dan bagaimana? Tatkala membilang-bilang tentang kebaikan yang pernah dilakukan, saya menjadi gerun sendiri andai kebaikan itu tidak dibaluti oleh sebuah keikhlasan, yang memungkinkan saya jauh dari redha Tuhan.

Semua orang mampu bercakap tentang ikhlas. Saya juga boleh menasihati anda tentang ikhlas. Pandai sungguh kita menasihati orang tentang ikhlas. Tetapi saat terkena batang hidung sendiri, kita belum tentu mampu menghadapinya. Itulah harga sebuah keikhlasan. Terlalu mahal! Terlalu berat! Sehingga tidak semua daripada kita mampu melakukannya! Dan selalunya kita tertewas dengan emosi kita sendiri...dan akhirnya harga sebuah keikhlasan adalah air mata!

Siapa berani mengatakan bahawa ibu bapa mereka melakukan kebaikan kepada mereka tanpa keikhlasan? Termasuk saya, saya amat yakin kita semua akan mengakui hakikat betapa ikhlas dan luhurnya hati kedua ibu bapa kita terutamanya dalam membesarkan kita.Tetapi siapa antara kita berani mengatakan bahawa sesungguhnya ibu bapa kita tidak pernah mengharapkan apapun daripada kebaikan yang mereka lakukan?

Pastinya setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka menjadi orang berjaya. Anak mereka menjadi anak yang soleh. Anak mereka tidak melupakan mereka saat mereka telah tua. Anak mereka akan mendoakan mereka selepas mereka telah tiada. Walaupun pastinya mereka tidak mengharapkan anak-anak membayar segala kebaikan atau membalas dengan setimpal segala pengorbanan yang telah dilakukan, bukankah itu maksudnya mereka masih mengharapkan sesuatu? Dan adakah dengan mengharapkan sesuatu itu, mereka masih dikira ikhlas terhadap anak-anak mereka?

Seorang pendidik yang ikhlas, mendidik dengan penuh tanggung jawab. Tidakkah dia mengharapkan apa-apa daripada pelajar-pelajarnya? Pastinya seorang pendidik tidak mengharapkan pelajar-pelajar nya membalas atau membayar balik segala kebaikan yang dilakukan, tetapi tentunya dia masih mengharapkan sesuatu. Contoh, dia mengharapkan pelajarnya menjadi orang berjaya. Dia mengharapkan pelajarnya menjadi manusia berguna. Dia juga mengharapkan sekurang-kurangnya pelajar-pelajar itu tahu menghormatinya. Bukankah itu juga maksudnya pendidik tersebut masih mengharapkan sesuatu daripada kebaikan yang dilakukan? Dan dalam keadaan itu, adakah dia tidak ikhlas mendidik mereka?

Saat saya memperhalusi ikhlas itu apa dan bagaimana. Saya membuat kesimpulan ini: bahawa saya tidak sesekali menyangkal pendapat ramai yang mengatakan ikhlas itu adalah saat kita melakukan sesuatu kebaikan dan dalam masa yang sama tidak mengharapkan apa-apa daripada manusia, kecuali redha dan rahmatNya. Tetapi sejauh mana insan biasa seperti kita mampu melakukannya?

Berdasarkan pemerhatian saya ada beberapa tahap ikhlas pada diri seorang manusia. Tahap keikhlasan pertama adalah kita memberi tetapi tidak mengharapkan balasan yang sama seperti yang kita lakukan, tetapi kita masih mengharapkan sedikit penghargaan. Contoh, kalau saya memberi RM50 kepada seseorang yang dalam kesusahan dan sangat-sangat memerlukannya, saya tidak mengharapkan dia memberi balik RM50 tetapi cukuplah kalau dia boleh berterima kasih dan mungkin memberi sedikit senyuman tanda kesyukuran. Kalau kita dapat melakukan ini, kita sebenarnya lebih baik daripada orang yang memberi dan mengharapkan pulangan yang sama atau lebih.

Tahap ikhlas yang kedua adalah pada saat kita memberi dan langsung tidak mengharapkan apa-apa. Maksudnya kalau kita memberi RM50 tadi, dan orang yang menerima tersebut langsung tidak mengucapkan terima kasih dan tidak pula memberi senyuman, tetapi dalam masa yang sama kita pula boleh tersenyum tanpa ada perasaan apapun. Maka keikhlasan kita sebenarnya telah meningkat ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Tetapi...Tuhan sentiasa menguji hamba-hambanya yang ikhlas dan sabar. Saat kita mampu merealisasikan keikhlasan pada tahap yang kedua tadi, Dia memberi pula ujian yang lain. Masih mengambil contoh yang sama, orang yang menerima RM50 tadi bukan sahaja tidak berterima kasih malah dia membalas pemberian ikhlas tersebut dengan secawan racun yang bisa membunuh kita. Saat itu, keikhlasan dan kesabaran kita diuji pada tahap yang paling tinggi. Kita mungkin kecewa. Kita mungkin bersedih. Kadangkala kita seperti menyesal melakukan kebaikan tersebut dan pada saat ini sesiapa sahaja mampu tertewas dengan emosi sendiri.

Ujian sebegini sebenarnya terlalu berat untuk ditanggung oleh sesiapapun. Saat itu tidak ada apapun yang dapat dilakukan kecuali kembali kepadaNya. Bukankah Dia memberi sebegitu banyak ujian pada hamba-hamba yang disayangiNya? Dan akhirnya kita harus sedar tentang satu perkara ini, bahawa Dia sedang mengajar kita tentang IKHLAS, SABAR dan REDHA...yang pastinya mudah untuk disebut, tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan. -SI

Jangan sampai sedikit ujian menghalang kita untuk terus melakukan kebaikan.
(Harbour Town, Melbourne)

Wednesday 15 May 2013

Dia bukan lilin...Tetapi dia matahari...SELAMAT HARI GURU BUATMU!!!

Sebenarnya tidak banyak perkara menarik untuk saya kenang saat mengimbau kenangan zaman persekolahan dan universiti dulu. Ada orang mengatakan zaman persekolahan adalah yang paling indah. Bagi saya tidak! Malahan zaman menghabiskan ijazah pertama juga tidak begitu menarik untuk dikenang kecuali semasa saya mewakili Malaysia dalam festival teater peringkat Asia Pasific. Puas..kerana berjaya mendapat sijil setinggi itu untuk resume peribadi (walaupun hanya sekadar berlakon). Alhamdulillah...

Bagi saya, saat yang paling indah adalah semasa saya menyambung pengajian master sambil bekerja sebagai pensyarah di INTEC UiTM. Terlalu sukar! Tapi...terlalu indah kerana dua sebab. Pertama, membuat master adalah pilihan saya sendiri. Kedua, saya menamatkan master dengan keputusan yang sangat cemerlang walaupun terpaksa menempuh pelbagai kepayahan. Kerana pada ketika itu saya melakukan tiga kerja pada masa yang sama: pensyarah sepenuh masa, warden kolej dan pelajar. Gila! Memang gila... sehingga kalau anda menyuruh saya mengulangi semua itu...saya tidak akan sanggup! :p (Nasib baik sekarang saya student sepenuh masa...hehe...p/s thanx uitm) 

Tapi...ada satu perkara yang tidak mungkin boleh saya lupa sampai bila-bila...tentang betapa baiknya pensyarah-pensyarah dengan saya suatu ketika dulu. Mungkin tidak semua. Tapi beberapa orang itulah yang telah memberi kesan yang sangat besar kepada keseluruhan hidup saya. 

Pernah satu ketika, saya menghadapi masalah kewangan. Hmmm..sebenarnya keluarga saya agak susah masatu. Adik beradik ramai. Semua masih belajar. Saya pula anak sulong. Saya pernah tidak ada duit walaupun untuk membeli sepinggan nasi. Nak call mak di kampung, saya tidak sanggup. Sebab saya tahu, dia juga menghadapi masalah yang sama. Saya menebalkan muka berjumpa dengan seorang pensyarah ini. Saya memberitahunya apa yang berlaku dan menyatakan hasrat saya untuk meminjam RM30. Cukuplah untuk belanja sampai hujung minggu. Tanpa bertanya banyak, beliau memberikan saya RM50. Saya berjanji akan membayar balik dengan segera.

Minggu berikutnya, setelah mempunyai duit. (Saya sebenarnya banyak membuat kerja part time. Mengajar di rumah orang dan menjadi fasilitator untuk kem motivasi). Saya berjumpa pensyarah tersebut. Saat saya mengeluarkan duit RM50 untuk dipulangkan kepada beliau, beliau sambil tersenyum mengatakan kepada saya " Saya telah halalkan duit tu pada saat saya memberikannya kepada awak." Walaupun saya mendesak agar dia menerima. Dia tetap berkeras supaya saya menyimpan duit tersebut. Allahurabbi...Pada petang yang damai itu, saya menahan air mata daripada gugur walaupun hati saya teramat sebak hanya Tuhan yang tahu...sebak kerana Tuhan mentakdirkan saya mengenali manusia semulia itu. 

Beliau memang berbeza. Bagi saya beliau bukan sekadar seorang pensyarah universiti yang hebat. Tetapi seorang pendidik yang melihat anak didiknya bukan sekadar dengan mata...tetapi dengan hati yang ikhlas. Kadang-kadang kerana terlalu baik itu beliau ditohmah. Tetapi beliau tidak pernah berubah. Terus membantu dan menyokong pelajar-pelajarnya. Kental jiwanya walau beliau seorang wanita!

Sebenarnya itu hanyalah sekelumit daripada begitu banyaknya kisah kebaikan pensyarah dan pendidik kepada saya. Sehingga pada saat saya menjadi pensyarah. Saya seperti berjanji kepada diri saya sendiri untuk melakukan perkara yang sama. Mendidik dari hati yang ikhlas...Melangkaui hanya sekadar bergelar seorang pensyarah. Itu janji saya. Dan itulah yang sedang saya usahakan.

Sehingga ke saat ini. Itulah perkara paling manis sepanjang saya bergelar pelajar. Ramai pendidik yang begitu baik dan mengambil berat tentang saya. Padahal saya bukan siapa-siapa pada masa itu. Tidak ramai yang nampak potensi saya. Saat saya menceritakan kepada mereka betapa tingginya cita-cita saya untuk satu masa juga mempunyai PhD seperti mereka. Mereka terus memberi sokongan tanpa rasa sangsi. Dan semangat itulah yang telah membawa saya hingga ke sini hari ini. Syukur alhamdulilah.

Sempena hari guru/pendidik tahun ini. Saya ingin sekali merakamkan jutaan terima kasih buat mereka yang telah menjadi sebahagian daripada kisah perjuangan saya. Pensyarah-pensyarah di universiti. Guru-guru di sekolah menengah dan rendah. Dan supervisor PhD saya yang amat berdedikasi. Saya tidak mampu membalas segala kebaikan. Tapi saya pasti Allah akan memberi kebaikan dunia dan akhirat buat anda semua.

Bagi saya pendidik yang baik itu bukanlah seperti lilin! Kenapa perlu jadi lilin yang perlu membakar diri dan berkorban sehingga hangus dan hilang. Pendidik yang baik sebenarnya adalah seperti matahari. Cahayanya melimpah pada saat kita memerlukan. Dia mungkin hilang seketika. Tetapi ada saat dan ketikanya...dia muncul kembali!

P/S :-
1) Dalam banyak-banyak tips untuk berjaya dalam pelajaran, perkara yang satu ini tidak harus kita abaikan. Bahawa keberkatan ilmu itu terletak pada bagaimana kita menghormati dan memuliakan seorang pendidik. 

2) Terima kasih Prof. Madya Dr. Ramizah Wan Muhammad. Saya mungkin tidak berkesempatan lagi untuk memulangkan RM50 tersebut. Tapi saya amat yakin, Allah pasti akan membalasnya dengan ganjaran kebaikan dunia dan akhirat. Teruslah menjadi berbeza. Kerana perbezaan itulah yang membuatkan anda istimewa kepada orang yang bisa melihat menggunakan mata hati. -SI

Dan sinarnya tidak pernah hilang... (Perth, Western Australia)

Sunday 21 April 2013

Hujan Rahmat Di Kota Makkah...


Petang Jumaat 29 Mac 2013 meninggalkan kenangan yang cukup manis untuk dikenang sampai bila-bila. Teringat lagi tatkala bergegas keluar dari hotel untuk menunaikan solat asar (agak lambat kerana tertidur selepas zohor), saya tergamam sendiri di hadapan hotel. Hujan di kota suci Makkah!  Perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.

Menariknya, selepas solat jumaat pada hari tersebut, imam masjid al-haram, berdoa memohon hujan. Keadaan sekitar masjid yang berhabuk kerana kerja-kerja pembinaan yang giat dijalankan memungkinkan sesiapa sahaja mendapat sakit, termasuk saya. Mungkin itu antara sebab paling utama kenapa imam berdoa sedemikian. Lagipun sudah lama kota suci ini tidak dibasahi hujan.

Alhamdulillah. Mustajab sungguh berdoa di sini. Memohon hujan pada waktu zohor, sebelum asar, Allah makbulkan. Maka pada petang yang penuh barakah itu, saya kebasahan sepanjang perjalanan dari hotel ke masjid oleh hujan rahmat yang tidak pernah saya sangkakan.

Terima kasih Tuhan, kerana memberi pengalaman yang paling indah buat umrahku kali ini. Alhamdulillah -SI


Selepas isyak. Limpahan manusia sehingga ke luar masjid bagaikan musim haji.


Hari ini saya hanya berpeluang bersolat di dataran tingkat dua, kerana orang terlalu ramai di dalam masjid.
Itu yang pertama dan terakhir untuk ziarah kali ini. Menyesal datang lambat!

Pembinaan bagi tujuan perluasan masjid yang terus giat dijalankan. 





Kebanyakan orang tidak memilki payung termasuk saya!


Ada yang menutup kepala menggunakan sejadah. Hmm, saya pun..




Jalan menuju ke masjid dilimpahi air hujan.








Malam yang indah di Baitullah