Friday 19 July 2013

Pemuda Palestin Itu...

Masjidil haram, Makkah. 

Entah kenapa tiba-tiba aku terasa ingin menunaikan solat maghrib di tingkat bawah masjid yang penuh barakah ini. Padahal aku sudahpun berada di tingkat dua, seperti malam-malam sebelumnya. Lantas aku terus mencari tangga berdekatan untuk turun ke bawah. Aku seperti ingin terus menatap kaabah pada malam yang damai itu. Lalu aku mencari posisi terbaik dengan pandangan kaabah yang indah. Allhamdulillah, hajat pada malam itu dikabulkan. 

Saat selesai menunaikan solat sunat selepas maghrib, aku terperasan kehadiran seorang pemuda arab yang duduk disebelahku. Matanya yang sayu seakan-akan berkaca seperti memaksaku untuk menegurnya. Raut wajahnya yang tenang dan bersih tetapi seperti memikirkan sesuatu menimbulkan persoalan yang bukan sedikit di mindaku. Namun, dia seperti dingin pada sesiapapun. Dia seperti sedang berada dalam dunianya sendiri. Membatu. Seakan lesu. Seperti sedang memikirkan sesuatu yang berat, sarat dan tiada jawapannya. Misteri...

Kerana persoalan yang sebegitu banyak menerjah ke mindaku, aku beranikan diri menegurnya. Aku    memulakan perbualan dalam bahasa Inggeris dengan harapan dia juga boleh berbahasa inggeris atau sekurang-kurangnya faham apa yang aku perkatakan. Alhamdulillah, saat aku bertanya dari mana asalnya, dia dengan pantas memberitahuku bahawa dia dari Gaza, Palestin. Bahasa Inggerisnya baik sekali. Aku semakin teruja untuk mengetahui siapa sebenarnya pemuda Palestin itu dan gerangan apakah yang mengganggu fikirannya ketika itu.

Kami memulakan perbualan dengan memperkenalkan diri masing-masing. Seperti aku, dia juga sangat teruja untuk mengenaliku saat aku memberitahunya aku dari Malaysia. Katanya, nama Malaysia terlalu harum di bumi Gaza. Hampir semua orang Palestin mengenali Malaysia dan mengetahui tentang luhurnya hati sebilangan besar rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong perjuangan mereka di bumi Gaza. Aku tersenyum bangga.

Seterusnya dia memperkenalkan dirinya. Dia meminta aku memanggilnya Mohammed. Nama penuhnya Mohammed Fadhil Al-Qudairi.  Pelajar tahun empat jurusan perubatan di sebuah universiti di Palestin. Umurnya baru 21 tahun. Namun, dia kelihatan lebih matang berbanding usia sebenarnya. Katanya itu pertama kali dia ke luar negara. Bersama-sama dua lagi rakan sekelas, mereka mengikuti rombongan umrah bersama jemaah-jemaah lain dari Gaza, Palestin.

Tanpa ditanya, Mohammed membuka cerita. Menurutnya, hari itu merupakan hari ke 18 dia di situ. Padahal visanya telahpun tamat. Sebenarnya bermula tahun ini kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan jemaah umrah berada di Makkah dan Madinah tidak lebih 15 hari. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Telahanku mungkin kerana projek-projek pembesaran masjid yang sedang giat dijalankan memaksa mereka mengehadkan jumlah jemaah ke situ. Aku tidak pasti.

Aku terus tertanya lagi, kalau sudah lebih masa kenapa dia masih di Makkah? Kenapa tidak pulang lebih awal ke Palestin?

Mohammed meneruskan ceritanya. Menurut pemuda ini, satu-satunya jalan ke luar dari Gaza adalah melalui pintu Rafah di sempadan Gaza-Mesir yang dibuka sejak pemerintahan Dr Morsi. Maka ramai penduduk Gaza mengambil peluang untuk menunaikan umrah sejak sempadan tersebut dibuka. Dari Rafah, mereka menaiki bas lebih kurang satu jam ke lapangan terbang negara Mesir yang paling hampir. Dari situ, mereka mengambil penerbangan terus ke Jeddah yang mengambil masa tiga jam.

Lalu aku teringat beberapa hari sebelum itu aku terdengar berita huru-hara di Mesir. Tetapi setahuku ia berlaku di Kaherah. Jadi apa kaitannya dengan rombongan Mohammed yang terkandas di Makkah?

Kata Mohammed, huru-hara yang asalnya hanya di Kaherah telah merebak ke serata Mesir. Kawasan sekitar lapangan terbang berhampiran Rafah tersebut juga antara kawasan yang terjejas teruk. Maka ia terpaksa ditutup. Selagi ia tidak dibuka, rombongan Mohammed tidak dapat pulang ke Gaza. Lagipun, pintu sempadan Rafah juga ditutup sejak kejatuhan Dr. Morsi. Kalau sekalipun Mohammed boleh sampai ke Mesir. Dia dan rombongannya mungkin terkandas lagi di lapangan terbang itu.

Ya Allah, aku tidak pernah pernah terfikir ketidakstabilan dan kacau bilau di Mesir memberi kesan secara langsung kepada Gaza. Ya, memang aku akui kurang mengambil tahu tentang isu itu sebelum ini.  Terlalu sibuk dengan urusan pengajian  sehingga derita saudara sendiri tidak diendah. Ah, tiba-tiba sekelumit rasa sesal menyelinap masuk ke lubuk hatiku. Ya Allah ampunkan aku.

Lalu apa perancangan Mohammed dan rombongannya?

Saat aku mengajukan soalan itu kepadanya, dia tiba-tiba terdiam. Matanya berkaca lagi. Dia memandangku dengan pandangan yang penuh sayu.  Katanya dia tidak tahu. Pada saat dan ketika itu, tidak ada apa yang boleh dilakukan selain berdoa...berdoa..dan terus berdoa. Hanya Allah yang mampu menghadirkan keajaiban pada saat yang rumit sebegitu.

Ya Allah....sukarnya menjadi engkau wahai Mohammed. Begitu sekali ujian buatmu saat engkau berada di bumi suci ini. Aku terdiam. Mengalih pandanganku ke arah kaabah. Menahan air jernih dari gugur.  Aku terfikir, ada kalanya aku juga tertewas dengan emosi sendiri saat dilanda musibah dan ujian. Namun, saat melihat orang lain yang ditimpa ujian yang jauh lebih dasyat, aku insaf sendiri. Jauh di sudut hati, aku bersyukur kerana tidak pernah dilanda ujian seberat itu. Syukur. Terlalu syukur.

Tidak mahu memanjangkan rasa sebak yang semakin menghimpit kami berdua. Aku mula menukar cerita. Perbualan kami seterusnya berkisar tentang pengajian masing-masing. Seperti aku yang kagum dengan kehebatanya menjadi antara sekelumit yang berjaya mengikuti pengajian perubatan di universitinya, Mohammed juga kagum denganku yang sedang melanjutkan pengajian PhD. Katanya, aku nampak terlalu muda untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat itu. Hmmm..aku tersenyum sendiri dengan pujian ikhlas daripada dia.

Menurut Mohammed, kehidupan rakyat Palestin di Gaza semakin tersepit. Peluang pekerjaan sangat sedikit. Tapi katanya, dia masih dikira bernasib baik.  Perubatan masih dikira bidang yang amat kritikal di sana. Hmm...mungkin faktor negara yang sering bergolak dan berperang. Ramai mangsa yang perlu dirawati. Maka pegawai perubatan sentiasa dikehendaki. Itu membuatkan dia sentiasa bersemangat untuk berjuang. Belajar untuk menjadi doktor yang hebat supaya satu masa dapat membantu bangsanya sendiri. Itu matlamat dia. Dan aku dapat melihat keihklasan itu terpancar dengan jelas dari matanya yang hening itu.

Sungguh hidup ini sebuah perjuangan! Saat aku melontarkan pandangan aku tentang itu, dia tersenyum sendiri. Dia tertarik dengan pandanganku tentang hidup. Katanya dia juga berpandangan begitu. Namun aku tidak terkejut dengan semangat juang anak muda ini. Sejak lahir sehinggalah ke saat dia meninggalkan Gaza, bunyi bom dan dentuman senjata di udara Palestin bukanlah sesuatu yang asing baginya. Padanlah semangatnya untuk berjuang tidak pernah padam, tidak pernah pudar.

Bagi Mohammed, dia tidak pernah takut akan kematian. Yang dia takut, adalah mati dalam keadaan yang sia-sia. Dia mahu terus berjuang. Andai syahid penentu jalan hujung hidupnya, dia redha. Itupun yang dia cari. Namun katanya, andai diberi keizinan, dia ingin sekali hidup lebih lama. Supaya dapat menamatkan pengajian dan seterusnya mencurah bakti pada anak bangsanya sendiri. Dia ingin melihat Gaza kembali aman. Dia ingin bersama-sama membangunkan negara yang tidak pernah diiktiraf sebagai negara itu.

Aku terus mendengar keluhan hati anak muda itu. Kaabah yang suci menjadi saksi kejujuran dan keihklasan hatinya menzahirkan hakikat sebuah perjuangan. Saat dia terus bercerita tentang hakikat hidup dan perjuangan itu, aku mula terbayangkan anak bangsaku di tanah air. Aku menjadi sebak sendiri, tatkala memikirkan tentang anak bangsaku yang hanyut tanpa pegangan hidup. Lemas tanpa arah tujuan yang jelas. Alpa dan lalai tentang tanggung jawab yang seharusnya mereka pikul! Mereka tidak serius dengan apa yang mereka lakukan. Hatta pelajar-pelajar di universitipun ramai yang terlalu leka dan tidak betul-betul bersemangat untuk belajar. Ramai yang tidak mengambil berat tentang hakikat bahawa belajar adalah sebuah tanggungjawab yang harus diperjuangkan. Demi bangsa dan agama. Demi masa depan yang lebih baik! Bagi mereka, ia adalah perkara remeh yang perlu dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga.

Maaf, aku tidak tuduh melulu. Itu yang aku perhatikan sepanjang lebih tujuh tahun bergelar pendidik. Aku melihat banyaknya manusia yang tidak pernah serius dengan tanggungjawab mereka. Aku melihat manusia-manusia yang khayal dengan hidup tetapi tidak pernah memikirkan hakikat kenapa mereka diberi sebuah kehidupan...

Sungguh, ramai kalangan kita yang tidak pernah faham hakikat sebuah perjuangan. Kerana apa? Kerana kita tidak dihidangkan dengan bunyi dentuman bom sebagai halwa telinga. Kerana ramai kalangan kita tidak pernah susah sehingga tidak tahu menghargai kesenangan. Ramai yang tidak pernah diuji dengan ujian yang berat-berat sehingga tidak pernah merasakan hakikat sebenar pengorbanan dan perjuangan.

Saat aku menceritaan tentang hakikat ini kepada Mohammed, dia seperti tidak percaya. katanya pemuda-pemuda Islam semuanya kuat, kental dan bersemangat. Mereka bertanggung jawab dan sanggup berjuang demi masa depan yang lebih baik. Mereka sanggup berkorban demi bangsa, agama dan negara.

Aku memandang ke arah kaabah lagi. Di dalam hati aku bermonolog sendiri....

"Mohammed oh Mohammed. Itu mungkin engkau dan teman-temanmu di Gaza. Tapi tidak buat kami di Malaysia. Ada kalangan kami yang faham tentang hakikat hidup adalah sebuah perjuangan wahai Mohammed. Namun lebih ramai sebenarnya yang tidak pernah peduli tentang itu.

Wahai Mohammed, kalaulah anak bangsaku mengerti apa yang engkau alami, pasti mereka akan lebih faham apa itu perjuangan. Kalaulah anak bangsaku merasai apa yang engkau alami pasti mereka akan lebih memahami hakikat sebenar hidup ini.

Wahai Mohammed. Saat aku mula memahami hakikat perjuangan bangsa Palestin di Gaza, aku mula malu sendiri! Aku malu sendiri! Aku malu Mohammed! Aku malu kerana perjuanganku sebenarnya terlalu kecil dan kerdil berbanding perjuangan besar lagi getir bangsamu itu."

Dan malam yang penuh barakah itu berakhir dengan sebuah hikmah yang sungguh menyentuh hatiku. Kami berjanji untuk bertemu lagi esok hari selepas solat zuhur. Ada banyak perkara yang perlu diperbincangkan antara aku dan sahabat baruku itu. Ada banyak persoalan tentang perjuangan rakyat Palestin di mindaku yang memerlukan jawapan dari orang asal Gaza sendiri.

Mohammed...jangan lupa janji kita esok! -SI

Tuhan..izinkan aku untuk terus berjuang atas nama cintaku kepadaMu...

GAZA


30 comments:

  1. Replies
    1. Semoga kita semua beroleh manfaat daripada kisah perjuangan rakyat Palestin di Gaza..amin :)

      Delete
  2. Thanks for sharing. Sangat menginsafkan dan memberi semangat utk meneruskan perjuangan kita disini.

    Semoga Mohammed dapat kembali ke Gaza dengan selamat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanx hida dear, amin...amin...sesungguhnya hidup ini sebuah perjuangan!

      Delete
  3. air mata trun tnpa sedar~ ank bngsa kita??? kita yg thu.. ALLAHHhh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kadang-kadang kesenangan menjadikan manusia alpa dan lupa...nauzubillah..

      Delete
    2. betul 2..menanti smbungan seterusnya..kalau ada :)

      Delete
    3. insyaallah..sudah ada dalam fikiran..menunggu kesempatan utk dizahirkan dalam bentuk tulisan

      Delete
  4. my bro. Izuan Izzaidi Azmi,, thanks a bunch for you sensitive and nice words ( your composition ) ,,
    Actually Mohammed is one of my best friend , an' he really deserve the best so far.
    you know what,, you Malaysian people are always in our tongues and heart cuz of many deeds and brother of your great hearts

    again,, thanx alot ^_^
    hope to see you soon here on Gaza Land

    ReplyDelete
    Replies
    1. https://www.facebook.com/abed.elhadi.33

      Delete
    2. welcome bro..insyaallah really hope to go there some day... :) amin

      Delete
  5. so inspiring.. hakikat sebuah perjuangan bahawa hidup jangan dipersiakan..

    hebat Sir!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq so much bro...moga Allah terus memberikan ilham kpd sy dan awk utk terus menulis...

      Delete
  6. thanks for sharing. keep writing n inspiring others! inshaAllah moga Allah mudahkan segalanya

    ReplyDelete
  7. insyallah He will help Mohammed at the right time..

    ReplyDelete
  8. menginsafi dri tentang dri dan anak bangsa... sgt2 menyentuh

    ReplyDelete
  9. Well written. Betul, belajar, bekerja, segala course yang kita amik, (di Malaysia) mungkin banyaknya kerana course itu famous. tetapi tidak bagi mereka di sana. Mereka yang faham, mana 1 alat mana1 matlamat.

    Alhamdulillah, Allah temukan sir dengan org2 dari bumi Barakah. Moga terus kuat melangkah. Mungkin kini dengan pandangan baru. Nafas baru.

    Perjuangan kita masih besar dan panjang.

    -anak murid-

    ReplyDelete
    Replies
    1. inshaAllah..moga Allah memudahkan setiap langkah perjuangan kita menujuNya...

      Delete
  10. well writen. sejak berkawan dengan warga palestin lebih setahun lalu, saya makin memahami dan terkesan dengan semangat mereka. teruskan menulis Sir Izuan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanx sis..betul tu..hanya yang biasa susah akan faham hakikat sebuah kehidupan...Allahuakbar...kerdilnya perjuangan kita berbanding mereka...

      Delete
  11. Tears dropping while reading this story.. It's inspired a lot :)

    ReplyDelete