Saturday, 13 April 2013

Ajarlah Hati Tentang Ikhlas...

Seorang yang bijaksana pernah berkata, sesuatu yang datang dari hati akan meresap ke hati yang lain. Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan. Sekiranya ia sebuah kata-kata, ia akan meresap ke jiwa tanpa perlu dipaksa. Begitulah kekuatan sebuah hati yang ikhlas.

Sebenarnya banyak perkara dalam hidup ini yang kalau dilakukan dengan penuh keikhlasan, ia akan lebih berjaya berbanding sekiranya dilakukan dengan keterpaksaan atau sekadar sebuah tanggung jawab. 

Dalam entry sebelum ini, saya pernah mengatakan bahawa untuk melakukan perkara yang baik itu, kita tidak perlu menunggu sehingga datang mood atau hati yang ikhlas. Alasan saya senang sahaja, mood dan keihklasan untuk melakukan perkara yang baik itu, terlalu jarang hadir di dalam kehidupan hampir setiap daripada kita. Namun, pengalaman hidup juga mengajar saya bahawa, kalaulah perkara baik itu, dapat dilakukan dengan penuh keihklasan, ia akan menjadi lebih indah berbanding sekiranya ia hanyalah sekadar sebuah tanggung jawab.

Sebagai contoh, sekiranya seorang pendidik mengajar pelajar-pelajarnya dengan penuh tanggungjawab, pastinya dia akan menunaikan segala amanah yang seharusnya dipikul dengan baik sekali. Namun itu tidak menjamin bahawa hatinya berasa tenang dengan amanah tersebut. Dia mungkin berasa terbeban dengan pekerjaannya. Tetapi sebaliknya, sekiranya dia benar-benar ikhlas ingin melihat pelajar-pelajarnya berjaya, maka dia akan lebih bersemangat untuk menunaikan amanahnya, dan kalau sekalipun amanah itu dirasakan berat, keihlasan akan membuat kan apa sahaja yang dipikul terasa ringan dan menenangkan. 

Saya selalu membandingkan keputusan ijazah pertama dan master saya dimana saya mendapat keputusan yang sangat cemerlang pada peringkat master. Padahal pengajian master adalah lebih sukar dan tahap usaha saya untuk kedua-duanya adalah hampir sama. Setelah diperhalusi saya akhirnya sedar ada satu perbezaan paling ketara antara keduanya. Semasa di peringkat ijazah pertama, saya melakukannya kerana ia sebuah tanggung jawab yang harus dipikul. Saya tidak memilih untuk menjadi seorang pelajar universiti ketika itu. Ia lebih kepada satu peraturan dalam masayarakat, dimana setiap daripada lepasan sekolah harus ke universiti. Walau bagamanapun, membuat master adalah pilihan hati saya tanpa dipaksa oleh sesiapapun. Maka saya mendapat keputusan yang cemerlang kerana melakukannya dengan penuh keihklasan daripada hati sendiri.

Saya acapkali berpesan kepada pelajar-pelajar saya untuk tidak terlalu mengikut hati, sebaliknya menunaikan tanggung jawab sebagai seorang pelajar dengan baik sekali. Namun, saya juga percaya kalaulah mereka dapat melakukan amanah tersebut dengan hati yang ikhlas, pastinya perjuangan mereka akan lebih mudah dan bermakna. 

Ramai juga bertanya kepada saya, bagaimana untuk ikhlas. Jawapan saya kepada soalan itu adalah, ikhlas tidak datang begitu sahaja, ia harus dipupuk di dalam hati sanubari oleh sang pemunya hati itu  sendiri. Oleh itu....ajarlah hati untuk ikhlas kerana keikhlasan itu terlalu mahal harganya dan tidak mampu dibeli oleh sesiapapun. -SI

Lakukanlah keranaNya...





6 comments:

  1. indeed, susahnya memupuk keikhlasan..terutama sekali bila terpaksa lakukan sesuatu yg kita tak suka..

    ReplyDelete
  2. dan apabila kita rasa apa yg kita kena buat tu xde benefit pn untuk kita..heheeeee..so utk overcome semua tu jini slalu pesan kat diri sendiri, buat baik dapat pahala ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hmmm agree...agree..itula untung nya menjadi org yg ada agama, dia percaya kpd benda yg dia tidak nampak..alhamdulillah :D

      Delete