Sunday, 21 April 2013

Hujan Rahmat Di Kota Makkah...


Petang Jumaat 29 Mac 2013 meninggalkan kenangan yang cukup manis untuk dikenang sampai bila-bila. Teringat lagi tatkala bergegas keluar dari hotel untuk menunaikan solat asar (agak lambat kerana tertidur selepas zohor), saya tergamam sendiri di hadapan hotel. Hujan di kota suci Makkah!  Perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.

Menariknya, selepas solat jumaat pada hari tersebut, imam masjid al-haram, berdoa memohon hujan. Keadaan sekitar masjid yang berhabuk kerana kerja-kerja pembinaan yang giat dijalankan memungkinkan sesiapa sahaja mendapat sakit, termasuk saya. Mungkin itu antara sebab paling utama kenapa imam berdoa sedemikian. Lagipun sudah lama kota suci ini tidak dibasahi hujan.

Alhamdulillah. Mustajab sungguh berdoa di sini. Memohon hujan pada waktu zohor, sebelum asar, Allah makbulkan. Maka pada petang yang penuh barakah itu, saya kebasahan sepanjang perjalanan dari hotel ke masjid oleh hujan rahmat yang tidak pernah saya sangkakan.

Terima kasih Tuhan, kerana memberi pengalaman yang paling indah buat umrahku kali ini. Alhamdulillah -SI


Selepas isyak. Limpahan manusia sehingga ke luar masjid bagaikan musim haji.


Hari ini saya hanya berpeluang bersolat di dataran tingkat dua, kerana orang terlalu ramai di dalam masjid.
Itu yang pertama dan terakhir untuk ziarah kali ini. Menyesal datang lambat!

Pembinaan bagi tujuan perluasan masjid yang terus giat dijalankan. 





Kebanyakan orang tidak memilki payung termasuk saya!


Ada yang menutup kepala menggunakan sejadah. Hmm, saya pun..




Jalan menuju ke masjid dilimpahi air hujan.








Malam yang indah di Baitullah

Saturday, 13 April 2013

Ajarlah Hati Tentang Ikhlas...

Seorang yang bijaksana pernah berkata, sesuatu yang datang dari hati akan meresap ke hati yang lain. Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan. Sekiranya ia sebuah kata-kata, ia akan meresap ke jiwa tanpa perlu dipaksa. Begitulah kekuatan sebuah hati yang ikhlas.

Sebenarnya banyak perkara dalam hidup ini yang kalau dilakukan dengan penuh keikhlasan, ia akan lebih berjaya berbanding sekiranya dilakukan dengan keterpaksaan atau sekadar sebuah tanggung jawab. 

Dalam entry sebelum ini, saya pernah mengatakan bahawa untuk melakukan perkara yang baik itu, kita tidak perlu menunggu sehingga datang mood atau hati yang ikhlas. Alasan saya senang sahaja, mood dan keihklasan untuk melakukan perkara yang baik itu, terlalu jarang hadir di dalam kehidupan hampir setiap daripada kita. Namun, pengalaman hidup juga mengajar saya bahawa, kalaulah perkara baik itu, dapat dilakukan dengan penuh keihklasan, ia akan menjadi lebih indah berbanding sekiranya ia hanyalah sekadar sebuah tanggung jawab.

Sebagai contoh, sekiranya seorang pendidik mengajar pelajar-pelajarnya dengan penuh tanggungjawab, pastinya dia akan menunaikan segala amanah yang seharusnya dipikul dengan baik sekali. Namun itu tidak menjamin bahawa hatinya berasa tenang dengan amanah tersebut. Dia mungkin berasa terbeban dengan pekerjaannya. Tetapi sebaliknya, sekiranya dia benar-benar ikhlas ingin melihat pelajar-pelajarnya berjaya, maka dia akan lebih bersemangat untuk menunaikan amanahnya, dan kalau sekalipun amanah itu dirasakan berat, keihlasan akan membuat kan apa sahaja yang dipikul terasa ringan dan menenangkan. 

Saya selalu membandingkan keputusan ijazah pertama dan master saya dimana saya mendapat keputusan yang sangat cemerlang pada peringkat master. Padahal pengajian master adalah lebih sukar dan tahap usaha saya untuk kedua-duanya adalah hampir sama. Setelah diperhalusi saya akhirnya sedar ada satu perbezaan paling ketara antara keduanya. Semasa di peringkat ijazah pertama, saya melakukannya kerana ia sebuah tanggung jawab yang harus dipikul. Saya tidak memilih untuk menjadi seorang pelajar universiti ketika itu. Ia lebih kepada satu peraturan dalam masayarakat, dimana setiap daripada lepasan sekolah harus ke universiti. Walau bagamanapun, membuat master adalah pilihan hati saya tanpa dipaksa oleh sesiapapun. Maka saya mendapat keputusan yang cemerlang kerana melakukannya dengan penuh keihklasan daripada hati sendiri.

Saya acapkali berpesan kepada pelajar-pelajar saya untuk tidak terlalu mengikut hati, sebaliknya menunaikan tanggung jawab sebagai seorang pelajar dengan baik sekali. Namun, saya juga percaya kalaulah mereka dapat melakukan amanah tersebut dengan hati yang ikhlas, pastinya perjuangan mereka akan lebih mudah dan bermakna. 

Ramai juga bertanya kepada saya, bagaimana untuk ikhlas. Jawapan saya kepada soalan itu adalah, ikhlas tidak datang begitu sahaja, ia harus dipupuk di dalam hati sanubari oleh sang pemunya hati itu  sendiri. Oleh itu....ajarlah hati untuk ikhlas kerana keikhlasan itu terlalu mahal harganya dan tidak mampu dibeli oleh sesiapapun. -SI

Lakukanlah keranaNya...





Thursday, 14 March 2013

Tentang Hati...

Dalam mengharungi perjuangan tentang hidup yang getir ini, antara ujian paling besar yang sukar untuk ditempuhi adalah ujian tentang hati. Saat luka pada badan jelas kelihatan dan mudah diubati, luka pada hati tak kelihatan pada pandangan mata kasar. Ia seperti barah yang merayap dalam tubuh tanpa sesiapapun ketahui.

Kadangkala manusia yang luka hatinya terpaksa menempuh ujian itu sendiri. Kalau bernasib baik, dia mungkin punya sahabat sejati, yang sanggup bersusah bersama dan terus setia menemani. Saat itu dia mula kenal, siapa lawan, siapa kawan, dan akhirnya dia cuba mengenali dirinya sendiri.

Biar apapun ujian yang melanda diri, hatilah yang memainkan peranan paling penting untuk mengharungi ujian tersebut. Hati perlu kental! Hati perlu kuat! Hati perlu positif! Dan akhirnya ada tiga perkara yang mesti dipelajari, yang tanpanya kita tidak mungkin bisa meneruskan hidup ini, iaitu 'ikhlas', 'sabar', dan 'redha'.

Pujuklah hati bahawa hidup ini memang tidak selalunya mudah...Pujuklah hati bahawa hidup ini kadangkala menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.. Pujuklah hati bahawa pada saat tiada siapapun yang bisa merungkai kekusutan ini, ada Dia yang lebih mengerti...Pujuklah hati tentang ikhlas, sabar dan redha.. Kerana sesungguhnya memang mudah mengucapkan ikhlas, sabar dan redha. Tapi belum tentu semua orang mampu melakukannya, jika dia tidak punya hati yang kental dan kuat.

Pujuklah hati sendiri untuk terus tabah dan istiqamah dalam mengharungi getir hidup ini. Kerana biar siapapun yang datang pada saat kita sedang berduka, yang akhirnya bisa memujuk hati...adalah diri kita sendiri... -SI


BE SUPERMAN!
(Harbour Bridge-Sydney, Australia)









Monday, 28 January 2013

Nota Hati Untuk Dia Yang Dicintai...

Sebentar tadi,  manusia yang paling saya cintai menelefon saya. Hmmm..sebenarnya saya bercakap dengan wanita ini hampir setiap hari sejak saya mula meninggalkan rumah saya (untuk menuntut ilmu) 13 tahun tahun yang lalu. Dialah sahabat. Dialah pendengar paling setia. Dialah segala-galanya buat saya.

Biarlah apapun pandangan orang kepada saya. Kutuklah saya. Panggillah saya anak emak sekalipun. Bagi saya siapa lagi yang paling layak saya cintai selepas Allah dan Rasulullah selain manusia yang satu ini. Yang telah memperjudikan nyawanya demi melahirkan saya. Yang telah gagal peperiksaan akhirnya semasa di universiti kerana mengalami alah yang teruk dek mengandungkan saya, sehingga terpaksa mengulang pada semester berikutnya.  Yang telah memandikan saya saat saya tidak berdaya menanggung sakit yang teruk. Yang telah menyapu ubat di badan saya. Yang setia memberi sokongan saat tiada siapapun yang percayakan saya. Yang telah berkorban apa sahaja selama ini untuk membesarkan saya. Yang rela menderita asal saya bahagia. Siapa lagi yang mampu lakukan, kalau bukan wanita kental yang satu ini!

Kenangan lalu berputar bagai roda di kotak fikiran saya. Terkenang saat saya memilih aliran bukan sains tanpa pengetahuannya semasa di tingkatan empat. Padahal dia adalah seorang guru pakar sains di sekolah yang sama. Saya tidak boleh bayangkan betapa luluh hatinya. Hancur  impian seorang ibu untuk melihat anak sulung menjadi doktor. Berkecai bagai kaca yang terhempas ke lantai. Sehingga dia akhirnya berbisik kepada saya, agar satu masa nanti tetap menjadi doktor, walaupun bukan seorang doktor perubatan.

Hmmm..saya yakin kalau ingin ditulis di sini tentang kisah-kisah bagaimana saya menyakiti hatinya dulu...seluruh blog ini akan hanya menceritakan kisah itu. Itulah seorang anak. Tidak pernah sepi daripada menyusahkan seorang ibu. Tetapi dia...dia tidak pernah berubah. Kasih sayangnya tidak pernah pudar. Bahkan semakin mekar..dari hari ke hari.

Melihat ke depan, saya menjadi risau sendiri. Saat saya melihat ke belakang dan menghitung setiap satu kebaikan ibu terhadap saya, saya menjadi risau....gusar...andai saya tidak sempat membalas jasanya. Pada Allah saya selalu memohon, agar saya terus diberi kesempatan untuk melakukan yang terbaik demi dia selagi saya dan dia masih diberi nafas untuk terus melangkah di atas muka bumi ini. Kerana saya tahu, satu masa nanti saat Tuhan menjemputnya pergi buat selama-lamanya...selain doa, tiada apapun yang bermakna lagi. Dan saya tidak mahu menyesal di kemudian hari kerana tindakan yang saya lakukan hari ini.

Hakikatnya hubungan seorang ibu dan anaknya terlalu istimewa. Apa yang dapat memisahkan hubungan seorang anak dan ibunya walaupun penghujung sebuah kehidupan adalah kematian. Seorang lelaki  boleh mencari seorang isteri. Kalau berkemampuan dia boleh berpoligami. Kalau ditakdirkan berpisah dia boleh berkahwin lagi. Kalau ditakdirkan mati dia boleh mencari ganti. Tetapi seorang ibu, tiada duanya. Dialah ibu kita sampai bila-bila. Dialah permata. Dialah syurga. -SI

Siapa lagi yang layak untuk dicintai selepas Allah dan Rasulullah...
(Madinah Al-Munawwarah)






Wednesday, 23 January 2013

Hakikatnya...Perkara Yang Baik Sukar Dilakukan!

Sesungguhnya...perkara yang paling sukar dilakukan dalam hidup ini adalah perkara yang baik! Sama ada anda bersetuju atau tidak...hakikatnya begitulah...

Teringat zaman-zaman belajar, bila dalam kelas terasa mengantuk. Yang peliknya, habis sahaja kelas terus segar bugar. 

Bila study pula terasa letih teramat, bila online, gaming, menonton movie...sampai lewat malam pun tidak mengapa.

Bangun pagi untuk menunaikan solat subuh..hmmm...beratnya macam dihempap batang balak di atas badan. Tapi kalau bangun lambat, sampai matahari tegak di langit tidak mengapa.

Menerima pemberian orang, senyum sampai ke telinga. Tetapi, diri sendiri kedekut teramat hanya Tuhan yang tahu. 

Kalau susah dan kawan tidak menolong...marah! Tetapi bila kawan meminta tolong tidak pula ditolong.

Situasi-situasi di atas hanyalah beberapa contoh betapa kita selalu mengharapkan yang baik-baik, tetapi amat sukar untuk kita melakukan perkara yang baik.

Hakikatnya...melakukan perkara yang baik tidak perlu menunggu mood atau keikhlasan. Kerana mood dan keikhlasan untuk melakukan perkara yang baik itu hadirnya tidak setiap masa.

Banyak juga perkara yang baik kita lakukan, bukanlah kerana kita ingin lakukan sangat, sebaliknya  lebih merupakan sebuah tanggung jawab untuk dilaksanakan.

Maka, melakukan apa sahaja perkara yang baik ini sebenarnya memerlukan istiqamah yang tinggi. Moga-moga dari hanya sebuah tanggung jawab dan keterpaksaan, lama kelamaan timbullah keikhlasan dari hati atas rasa cinta kepadaNya. -SI






Wednesday, 16 January 2013

Yang Suka Bercakap V. Yang Tidak Mahu Mendengar

Dalam banyak-banyak perkara yang dikaitkan dengan kes 'Bawani V Sharifah Zohra' yang menurut saya lebih hangat daripada kes-kes lain termasuk kes kalimah 'Allah' yang nampaknya masih belum ada 'ending' yang jelas dek kedua-dua pihak yang bersetuju dan yang tidak bersetuju mempunyai alasan masing-masing yang agak kukuh, saya amat tertarik untuk membincangkan perkara yang satu ini, bahawa terdapat dua kelompok masyarakat hari ini yang dipisahkan oleh faktor generasi yang berbeza. 

Kumpulan pertama iaitu golongan muda yang saya perhatikan sekarang amat suka bercakap dan melahirkan apa sahaja yang mereka rasa. Mereka kadangkala tidak berfikir terlebih dahulu dan kerap juga melanggar peraturan atau undang-undang yang sewajarnya. Bagi mereka 'law is made to be broken'. Mereka suka mempertahankan apa sahaja yang mereka rasakan betul, walaupun sebenarnya banyak juga yang tidak betul. Mereka mahu didengari daripada mengikut semata-mata.

Kumpulan yang kedua pula adalah golongan yang tidak muda...hmmm..mungkin juga tua. Mereka adalah generasi yang lebih awal. Selalu merasakan apa sahaja yang mereka buat itu betul atas dasar kononnya mereka telah makan garam terlebih dahulu. Mereka juga gemar bercakap dan mengarah. Bagi mereka, tujuannya adalah baik. Mereka mahukan yang terbaik untuk golongan muda. Selalunya mereka gagal memahami dan mendengar rintihan hati golongan muda. Mereka sentiasa mahukan golongan muda mendengar seterusnya mengikut apa sahaja yang mereka katakan tetapi dalam masa yang sama mereka gagal menjadi pendengar yang baik.

Maka....berlakulah pertembungan antara dua golongan ini.  Golongan pertama iaitu yang suka bercakap serta mahu didengari dan golongan yang kedua, iaitu yang juga suka bercakap serta mengarah tetapi tidak mahu mendengar. Akhirnya ia menjadi tragedi yang amat dasyat yang kadangkala tidak berkesudahan dan mampu memusnahkan sesebuah institusi seperti kekeluargaan, pekerjaan mahupun negara.

Saya merasakan jurang antara dua golongan ini harus dikecilkan. Golongan muda seharusnya bertindak menggunakan akal yang lebih waras, bukan mengikut rasa semata-mata. Bercakap menggunakan minda yang lebih bernas dan dalam masa yang sama hormat pada golongan yang lebih tua. Mereka harus faham bahawa bukan semua perkara yang mereka minta harus ditunaikan. Golongan ini juga harus belajar untuk lebih beradab dan sopan dalam menzahirkan apa sahaja yang mereka rasa.

Dalam masa yang sama golongan yang lebih tua pula seharusnya juga bertindak menggunakan akal yang bernas dan waras. Mereka harus belajar untuk lebih banyak mendengar daripada hanya bercakap dan mengarah semata-mata. Mereka harus memimpin golongan muda dengan rasa kasih, hormat dan dalam masa yang sama meraikan apa sahaja pandangan golongan muda. Harus diingat disini, meraikan bukan bermakna harus ditunaikan apa sahaja permintaan mereka. Sekiranya baik, apa salahnya diturutkan. Sekiranya tidak, bolehlah kiranya diberi penjelasan. 

Carilah titik pertemuan dan persefahaman di antara dua golongan ini. Kalau ada yang salah, tegurlah dengan penuh hikmah dan rasa tanggungjawab. Kerana hakikatnya yang tua dan yang muda saling melengkapi. Yang tua harus ingat, mereka juga pernah muda dan yang muda harus ingat mereka juga akan tua. -SI



Saturday, 5 January 2013

Telah Kukatakan Padamu...

Telah kukatakan berkali-kali padamu...
bahawa hidup ini adalah sebuah cerita yang di dalamnya ada pelbagai rencah...
suka, duka, tangis, tawa, kejayaan...hatta kekalahan dan kegagalan juga adalah antara warna yang mencorakkan hidup ini....

Kerana seperti yang aku katakan dulu padamu...bahawa hidup ini bukan sebuah ceritera dongeng mengenai yang indah-indah sahaja...

Saat engkau terasa hidup ini payah..percayalah padaku bahawa itulah hidup...
Saat engkau terasa hidup ini sukar...dengarlah padaku bahawa itulah hidup...
Saat engkau terasa begitu banyak cabaran dan dugaan yang harus kau tempuh...aku harap kau masih ingat pesananku...itulah hidup...

Tetapi...

Setelah begitu banyaknya pesanan kutitipkan padamu...aku menjadi hairan sendiri kerana engkau masih lagi menangis mengira nasib hidupmu...

Setelah begitu banyaknya nasihat ku berikan padamu...aku menjadi hairan sendiri saat engkau terus-terusan mengira ujian dan kepayahan hidupmu...

Setelah begitu banyaknya cerita tentang hidup kuceritakan padamu...aku menjadi hairan sendiri bahwa engkau masih tidak mengerti apa itu hidup...

Ingin aku ulang untuk kesekian kalinya...yang payah-payah itulah hidup...

Dan telah kukatakan padamu bahawa...

Engkau punya pilihan...

Menjadikan dugaan itu sebagai sesuatu yang membakar semangatmu untuk lebih berjuang...
atau...
engkau akhirnya tunduk...kaku...menjadi batu...lemah lesu...dan terus tidak melangkah ke depan lagi...

Engkau punya pilihan...

Mencari jalan mengatasi ujian dan cabaran hidupmu...
atau...
memilih untuk terus duduk mengira nasib dan takdir...dan terus tidak melangkah ke depan lagi...

dan...aku masih hairan sendiri kerana setelah begitu banyaknya nikmat yang Tuhan berikan..sedikit ujian dariNya itulah yang engkau pertikaikan..seolah-olah engkau terlalu sempurna dan tidak layak diberi dugaan...

dan aku beristighfar sendiri...untuk kesekian kalinya...
kerana aku masih hairan lagi pada saat begitu banyaknya nikmat yang Tuhan berikan..yang tidak pula engkau syukurkan..yang masih dibilang-bilang adalah tentang hasratmu yang tidak Dia tunaikan...

dan aku terus hairan sendiri....
memikirkan betapa sukarnya mendamaikan engkau...
wahai HATI...

-SI