Showing posts with label Tentang Hidup. Show all posts
Showing posts with label Tentang Hidup. Show all posts

Wednesday, 5 June 2013

Ikhlas Itu Apa...dan Bagaimana?

Saat membicarakan tentang hakikat kehidupan bahawa buat baik tidak semestinya dibalas dengan baik..dan hakikat bahawa adakalanya kebaikan dibalas dengan kejahatan, ramai yang memberi pendapat tentang ikhlas. Kata mereka, bilamana kita melakukan sesuatu dengan ikhlas, kita tidak perlu mengharapkan apa-apa balasan terhadap kebaikan kita itu. Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita mampu melakukannya? Kuatkah manusia biasa seperti kita untuk tidak mengharapkan apa-apa daripada kebaikan yang kita lakukan?

Saat persoalan ini menerjah ke minda, saya terus hanyut dalam keliru tentang ikhlas itu apa dan bagaimana? Tatkala membilang-bilang tentang kebaikan yang pernah dilakukan, saya menjadi gerun sendiri andai kebaikan itu tidak dibaluti oleh sebuah keikhlasan, yang memungkinkan saya jauh dari redha Tuhan.

Semua orang mampu bercakap tentang ikhlas. Saya juga boleh menasihati anda tentang ikhlas. Pandai sungguh kita menasihati orang tentang ikhlas. Tetapi saat terkena batang hidung sendiri, kita belum tentu mampu menghadapinya. Itulah harga sebuah keikhlasan. Terlalu mahal! Terlalu berat! Sehingga tidak semua daripada kita mampu melakukannya! Dan selalunya kita tertewas dengan emosi kita sendiri...dan akhirnya harga sebuah keikhlasan adalah air mata!

Siapa berani mengatakan bahawa ibu bapa mereka melakukan kebaikan kepada mereka tanpa keikhlasan? Termasuk saya, saya amat yakin kita semua akan mengakui hakikat betapa ikhlas dan luhurnya hati kedua ibu bapa kita terutamanya dalam membesarkan kita.Tetapi siapa antara kita berani mengatakan bahawa sesungguhnya ibu bapa kita tidak pernah mengharapkan apapun daripada kebaikan yang mereka lakukan?

Pastinya setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka menjadi orang berjaya. Anak mereka menjadi anak yang soleh. Anak mereka tidak melupakan mereka saat mereka telah tua. Anak mereka akan mendoakan mereka selepas mereka telah tiada. Walaupun pastinya mereka tidak mengharapkan anak-anak membayar segala kebaikan atau membalas dengan setimpal segala pengorbanan yang telah dilakukan, bukankah itu maksudnya mereka masih mengharapkan sesuatu? Dan adakah dengan mengharapkan sesuatu itu, mereka masih dikira ikhlas terhadap anak-anak mereka?

Seorang pendidik yang ikhlas, mendidik dengan penuh tanggung jawab. Tidakkah dia mengharapkan apa-apa daripada pelajar-pelajarnya? Pastinya seorang pendidik tidak mengharapkan pelajar-pelajar nya membalas atau membayar balik segala kebaikan yang dilakukan, tetapi tentunya dia masih mengharapkan sesuatu. Contoh, dia mengharapkan pelajarnya menjadi orang berjaya. Dia mengharapkan pelajarnya menjadi manusia berguna. Dia juga mengharapkan sekurang-kurangnya pelajar-pelajar itu tahu menghormatinya. Bukankah itu juga maksudnya pendidik tersebut masih mengharapkan sesuatu daripada kebaikan yang dilakukan? Dan dalam keadaan itu, adakah dia tidak ikhlas mendidik mereka?

Saat saya memperhalusi ikhlas itu apa dan bagaimana. Saya membuat kesimpulan ini: bahawa saya tidak sesekali menyangkal pendapat ramai yang mengatakan ikhlas itu adalah saat kita melakukan sesuatu kebaikan dan dalam masa yang sama tidak mengharapkan apa-apa daripada manusia, kecuali redha dan rahmatNya. Tetapi sejauh mana insan biasa seperti kita mampu melakukannya?

Berdasarkan pemerhatian saya ada beberapa tahap ikhlas pada diri seorang manusia. Tahap keikhlasan pertama adalah kita memberi tetapi tidak mengharapkan balasan yang sama seperti yang kita lakukan, tetapi kita masih mengharapkan sedikit penghargaan. Contoh, kalau saya memberi RM50 kepada seseorang yang dalam kesusahan dan sangat-sangat memerlukannya, saya tidak mengharapkan dia memberi balik RM50 tetapi cukuplah kalau dia boleh berterima kasih dan mungkin memberi sedikit senyuman tanda kesyukuran. Kalau kita dapat melakukan ini, kita sebenarnya lebih baik daripada orang yang memberi dan mengharapkan pulangan yang sama atau lebih.

Tahap ikhlas yang kedua adalah pada saat kita memberi dan langsung tidak mengharapkan apa-apa. Maksudnya kalau kita memberi RM50 tadi, dan orang yang menerima tersebut langsung tidak mengucapkan terima kasih dan tidak pula memberi senyuman, tetapi dalam masa yang sama kita pula boleh tersenyum tanpa ada perasaan apapun. Maka keikhlasan kita sebenarnya telah meningkat ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Tetapi...Tuhan sentiasa menguji hamba-hambanya yang ikhlas dan sabar. Saat kita mampu merealisasikan keikhlasan pada tahap yang kedua tadi, Dia memberi pula ujian yang lain. Masih mengambil contoh yang sama, orang yang menerima RM50 tadi bukan sahaja tidak berterima kasih malah dia membalas pemberian ikhlas tersebut dengan secawan racun yang bisa membunuh kita. Saat itu, keikhlasan dan kesabaran kita diuji pada tahap yang paling tinggi. Kita mungkin kecewa. Kita mungkin bersedih. Kadangkala kita seperti menyesal melakukan kebaikan tersebut dan pada saat ini sesiapa sahaja mampu tertewas dengan emosi sendiri.

Ujian sebegini sebenarnya terlalu berat untuk ditanggung oleh sesiapapun. Saat itu tidak ada apapun yang dapat dilakukan kecuali kembali kepadaNya. Bukankah Dia memberi sebegitu banyak ujian pada hamba-hamba yang disayangiNya? Dan akhirnya kita harus sedar tentang satu perkara ini, bahawa Dia sedang mengajar kita tentang IKHLAS, SABAR dan REDHA...yang pastinya mudah untuk disebut, tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan. -SI

Jangan sampai sedikit ujian menghalang kita untuk terus melakukan kebaikan.
(Harbour Town, Melbourne)

Wednesday, 15 May 2013

Dia bukan lilin...Tetapi dia matahari...SELAMAT HARI GURU BUATMU!!!

Sebenarnya tidak banyak perkara menarik untuk saya kenang saat mengimbau kenangan zaman persekolahan dan universiti dulu. Ada orang mengatakan zaman persekolahan adalah yang paling indah. Bagi saya tidak! Malahan zaman menghabiskan ijazah pertama juga tidak begitu menarik untuk dikenang kecuali semasa saya mewakili Malaysia dalam festival teater peringkat Asia Pasific. Puas..kerana berjaya mendapat sijil setinggi itu untuk resume peribadi (walaupun hanya sekadar berlakon). Alhamdulillah...

Bagi saya, saat yang paling indah adalah semasa saya menyambung pengajian master sambil bekerja sebagai pensyarah di INTEC UiTM. Terlalu sukar! Tapi...terlalu indah kerana dua sebab. Pertama, membuat master adalah pilihan saya sendiri. Kedua, saya menamatkan master dengan keputusan yang sangat cemerlang walaupun terpaksa menempuh pelbagai kepayahan. Kerana pada ketika itu saya melakukan tiga kerja pada masa yang sama: pensyarah sepenuh masa, warden kolej dan pelajar. Gila! Memang gila... sehingga kalau anda menyuruh saya mengulangi semua itu...saya tidak akan sanggup! :p (Nasib baik sekarang saya student sepenuh masa...hehe...p/s thanx uitm) 

Tapi...ada satu perkara yang tidak mungkin boleh saya lupa sampai bila-bila...tentang betapa baiknya pensyarah-pensyarah dengan saya suatu ketika dulu. Mungkin tidak semua. Tapi beberapa orang itulah yang telah memberi kesan yang sangat besar kepada keseluruhan hidup saya. 

Pernah satu ketika, saya menghadapi masalah kewangan. Hmmm..sebenarnya keluarga saya agak susah masatu. Adik beradik ramai. Semua masih belajar. Saya pula anak sulong. Saya pernah tidak ada duit walaupun untuk membeli sepinggan nasi. Nak call mak di kampung, saya tidak sanggup. Sebab saya tahu, dia juga menghadapi masalah yang sama. Saya menebalkan muka berjumpa dengan seorang pensyarah ini. Saya memberitahunya apa yang berlaku dan menyatakan hasrat saya untuk meminjam RM30. Cukuplah untuk belanja sampai hujung minggu. Tanpa bertanya banyak, beliau memberikan saya RM50. Saya berjanji akan membayar balik dengan segera.

Minggu berikutnya, setelah mempunyai duit. (Saya sebenarnya banyak membuat kerja part time. Mengajar di rumah orang dan menjadi fasilitator untuk kem motivasi). Saya berjumpa pensyarah tersebut. Saat saya mengeluarkan duit RM50 untuk dipulangkan kepada beliau, beliau sambil tersenyum mengatakan kepada saya " Saya telah halalkan duit tu pada saat saya memberikannya kepada awak." Walaupun saya mendesak agar dia menerima. Dia tetap berkeras supaya saya menyimpan duit tersebut. Allahurabbi...Pada petang yang damai itu, saya menahan air mata daripada gugur walaupun hati saya teramat sebak hanya Tuhan yang tahu...sebak kerana Tuhan mentakdirkan saya mengenali manusia semulia itu. 

Beliau memang berbeza. Bagi saya beliau bukan sekadar seorang pensyarah universiti yang hebat. Tetapi seorang pendidik yang melihat anak didiknya bukan sekadar dengan mata...tetapi dengan hati yang ikhlas. Kadang-kadang kerana terlalu baik itu beliau ditohmah. Tetapi beliau tidak pernah berubah. Terus membantu dan menyokong pelajar-pelajarnya. Kental jiwanya walau beliau seorang wanita!

Sebenarnya itu hanyalah sekelumit daripada begitu banyaknya kisah kebaikan pensyarah dan pendidik kepada saya. Sehingga pada saat saya menjadi pensyarah. Saya seperti berjanji kepada diri saya sendiri untuk melakukan perkara yang sama. Mendidik dari hati yang ikhlas...Melangkaui hanya sekadar bergelar seorang pensyarah. Itu janji saya. Dan itulah yang sedang saya usahakan.

Sehingga ke saat ini. Itulah perkara paling manis sepanjang saya bergelar pelajar. Ramai pendidik yang begitu baik dan mengambil berat tentang saya. Padahal saya bukan siapa-siapa pada masa itu. Tidak ramai yang nampak potensi saya. Saat saya menceritakan kepada mereka betapa tingginya cita-cita saya untuk satu masa juga mempunyai PhD seperti mereka. Mereka terus memberi sokongan tanpa rasa sangsi. Dan semangat itulah yang telah membawa saya hingga ke sini hari ini. Syukur alhamdulilah.

Sempena hari guru/pendidik tahun ini. Saya ingin sekali merakamkan jutaan terima kasih buat mereka yang telah menjadi sebahagian daripada kisah perjuangan saya. Pensyarah-pensyarah di universiti. Guru-guru di sekolah menengah dan rendah. Dan supervisor PhD saya yang amat berdedikasi. Saya tidak mampu membalas segala kebaikan. Tapi saya pasti Allah akan memberi kebaikan dunia dan akhirat buat anda semua.

Bagi saya pendidik yang baik itu bukanlah seperti lilin! Kenapa perlu jadi lilin yang perlu membakar diri dan berkorban sehingga hangus dan hilang. Pendidik yang baik sebenarnya adalah seperti matahari. Cahayanya melimpah pada saat kita memerlukan. Dia mungkin hilang seketika. Tetapi ada saat dan ketikanya...dia muncul kembali!

P/S :-
1) Dalam banyak-banyak tips untuk berjaya dalam pelajaran, perkara yang satu ini tidak harus kita abaikan. Bahawa keberkatan ilmu itu terletak pada bagaimana kita menghormati dan memuliakan seorang pendidik. 

2) Terima kasih Prof. Madya Dr. Ramizah Wan Muhammad. Saya mungkin tidak berkesempatan lagi untuk memulangkan RM50 tersebut. Tapi saya amat yakin, Allah pasti akan membalasnya dengan ganjaran kebaikan dunia dan akhirat. Teruslah menjadi berbeza. Kerana perbezaan itulah yang membuatkan anda istimewa kepada orang yang bisa melihat menggunakan mata hati. -SI

Dan sinarnya tidak pernah hilang... (Perth, Western Australia)

Saturday, 13 April 2013

Ajarlah Hati Tentang Ikhlas...

Seorang yang bijaksana pernah berkata, sesuatu yang datang dari hati akan meresap ke hati yang lain. Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan. Sekiranya ia sebuah kata-kata, ia akan meresap ke jiwa tanpa perlu dipaksa. Begitulah kekuatan sebuah hati yang ikhlas.

Sebenarnya banyak perkara dalam hidup ini yang kalau dilakukan dengan penuh keikhlasan, ia akan lebih berjaya berbanding sekiranya dilakukan dengan keterpaksaan atau sekadar sebuah tanggung jawab. 

Dalam entry sebelum ini, saya pernah mengatakan bahawa untuk melakukan perkara yang baik itu, kita tidak perlu menunggu sehingga datang mood atau hati yang ikhlas. Alasan saya senang sahaja, mood dan keihklasan untuk melakukan perkara yang baik itu, terlalu jarang hadir di dalam kehidupan hampir setiap daripada kita. Namun, pengalaman hidup juga mengajar saya bahawa, kalaulah perkara baik itu, dapat dilakukan dengan penuh keihklasan, ia akan menjadi lebih indah berbanding sekiranya ia hanyalah sekadar sebuah tanggung jawab.

Sebagai contoh, sekiranya seorang pendidik mengajar pelajar-pelajarnya dengan penuh tanggungjawab, pastinya dia akan menunaikan segala amanah yang seharusnya dipikul dengan baik sekali. Namun itu tidak menjamin bahawa hatinya berasa tenang dengan amanah tersebut. Dia mungkin berasa terbeban dengan pekerjaannya. Tetapi sebaliknya, sekiranya dia benar-benar ikhlas ingin melihat pelajar-pelajarnya berjaya, maka dia akan lebih bersemangat untuk menunaikan amanahnya, dan kalau sekalipun amanah itu dirasakan berat, keihlasan akan membuat kan apa sahaja yang dipikul terasa ringan dan menenangkan. 

Saya selalu membandingkan keputusan ijazah pertama dan master saya dimana saya mendapat keputusan yang sangat cemerlang pada peringkat master. Padahal pengajian master adalah lebih sukar dan tahap usaha saya untuk kedua-duanya adalah hampir sama. Setelah diperhalusi saya akhirnya sedar ada satu perbezaan paling ketara antara keduanya. Semasa di peringkat ijazah pertama, saya melakukannya kerana ia sebuah tanggung jawab yang harus dipikul. Saya tidak memilih untuk menjadi seorang pelajar universiti ketika itu. Ia lebih kepada satu peraturan dalam masayarakat, dimana setiap daripada lepasan sekolah harus ke universiti. Walau bagamanapun, membuat master adalah pilihan hati saya tanpa dipaksa oleh sesiapapun. Maka saya mendapat keputusan yang cemerlang kerana melakukannya dengan penuh keihklasan daripada hati sendiri.

Saya acapkali berpesan kepada pelajar-pelajar saya untuk tidak terlalu mengikut hati, sebaliknya menunaikan tanggung jawab sebagai seorang pelajar dengan baik sekali. Namun, saya juga percaya kalaulah mereka dapat melakukan amanah tersebut dengan hati yang ikhlas, pastinya perjuangan mereka akan lebih mudah dan bermakna. 

Ramai juga bertanya kepada saya, bagaimana untuk ikhlas. Jawapan saya kepada soalan itu adalah, ikhlas tidak datang begitu sahaja, ia harus dipupuk di dalam hati sanubari oleh sang pemunya hati itu  sendiri. Oleh itu....ajarlah hati untuk ikhlas kerana keikhlasan itu terlalu mahal harganya dan tidak mampu dibeli oleh sesiapapun. -SI

Lakukanlah keranaNya...





Wednesday, 23 January 2013

Hakikatnya...Perkara Yang Baik Sukar Dilakukan!

Sesungguhnya...perkara yang paling sukar dilakukan dalam hidup ini adalah perkara yang baik! Sama ada anda bersetuju atau tidak...hakikatnya begitulah...

Teringat zaman-zaman belajar, bila dalam kelas terasa mengantuk. Yang peliknya, habis sahaja kelas terus segar bugar. 

Bila study pula terasa letih teramat, bila online, gaming, menonton movie...sampai lewat malam pun tidak mengapa.

Bangun pagi untuk menunaikan solat subuh..hmmm...beratnya macam dihempap batang balak di atas badan. Tapi kalau bangun lambat, sampai matahari tegak di langit tidak mengapa.

Menerima pemberian orang, senyum sampai ke telinga. Tetapi, diri sendiri kedekut teramat hanya Tuhan yang tahu. 

Kalau susah dan kawan tidak menolong...marah! Tetapi bila kawan meminta tolong tidak pula ditolong.

Situasi-situasi di atas hanyalah beberapa contoh betapa kita selalu mengharapkan yang baik-baik, tetapi amat sukar untuk kita melakukan perkara yang baik.

Hakikatnya...melakukan perkara yang baik tidak perlu menunggu mood atau keikhlasan. Kerana mood dan keikhlasan untuk melakukan perkara yang baik itu hadirnya tidak setiap masa.

Banyak juga perkara yang baik kita lakukan, bukanlah kerana kita ingin lakukan sangat, sebaliknya  lebih merupakan sebuah tanggung jawab untuk dilaksanakan.

Maka, melakukan apa sahaja perkara yang baik ini sebenarnya memerlukan istiqamah yang tinggi. Moga-moga dari hanya sebuah tanggung jawab dan keterpaksaan, lama kelamaan timbullah keikhlasan dari hati atas rasa cinta kepadaNya. -SI






Wednesday, 16 January 2013

Yang Suka Bercakap V. Yang Tidak Mahu Mendengar

Dalam banyak-banyak perkara yang dikaitkan dengan kes 'Bawani V Sharifah Zohra' yang menurut saya lebih hangat daripada kes-kes lain termasuk kes kalimah 'Allah' yang nampaknya masih belum ada 'ending' yang jelas dek kedua-dua pihak yang bersetuju dan yang tidak bersetuju mempunyai alasan masing-masing yang agak kukuh, saya amat tertarik untuk membincangkan perkara yang satu ini, bahawa terdapat dua kelompok masyarakat hari ini yang dipisahkan oleh faktor generasi yang berbeza. 

Kumpulan pertama iaitu golongan muda yang saya perhatikan sekarang amat suka bercakap dan melahirkan apa sahaja yang mereka rasa. Mereka kadangkala tidak berfikir terlebih dahulu dan kerap juga melanggar peraturan atau undang-undang yang sewajarnya. Bagi mereka 'law is made to be broken'. Mereka suka mempertahankan apa sahaja yang mereka rasakan betul, walaupun sebenarnya banyak juga yang tidak betul. Mereka mahu didengari daripada mengikut semata-mata.

Kumpulan yang kedua pula adalah golongan yang tidak muda...hmmm..mungkin juga tua. Mereka adalah generasi yang lebih awal. Selalu merasakan apa sahaja yang mereka buat itu betul atas dasar kononnya mereka telah makan garam terlebih dahulu. Mereka juga gemar bercakap dan mengarah. Bagi mereka, tujuannya adalah baik. Mereka mahukan yang terbaik untuk golongan muda. Selalunya mereka gagal memahami dan mendengar rintihan hati golongan muda. Mereka sentiasa mahukan golongan muda mendengar seterusnya mengikut apa sahaja yang mereka katakan tetapi dalam masa yang sama mereka gagal menjadi pendengar yang baik.

Maka....berlakulah pertembungan antara dua golongan ini.  Golongan pertama iaitu yang suka bercakap serta mahu didengari dan golongan yang kedua, iaitu yang juga suka bercakap serta mengarah tetapi tidak mahu mendengar. Akhirnya ia menjadi tragedi yang amat dasyat yang kadangkala tidak berkesudahan dan mampu memusnahkan sesebuah institusi seperti kekeluargaan, pekerjaan mahupun negara.

Saya merasakan jurang antara dua golongan ini harus dikecilkan. Golongan muda seharusnya bertindak menggunakan akal yang lebih waras, bukan mengikut rasa semata-mata. Bercakap menggunakan minda yang lebih bernas dan dalam masa yang sama hormat pada golongan yang lebih tua. Mereka harus faham bahawa bukan semua perkara yang mereka minta harus ditunaikan. Golongan ini juga harus belajar untuk lebih beradab dan sopan dalam menzahirkan apa sahaja yang mereka rasa.

Dalam masa yang sama golongan yang lebih tua pula seharusnya juga bertindak menggunakan akal yang bernas dan waras. Mereka harus belajar untuk lebih banyak mendengar daripada hanya bercakap dan mengarah semata-mata. Mereka harus memimpin golongan muda dengan rasa kasih, hormat dan dalam masa yang sama meraikan apa sahaja pandangan golongan muda. Harus diingat disini, meraikan bukan bermakna harus ditunaikan apa sahaja permintaan mereka. Sekiranya baik, apa salahnya diturutkan. Sekiranya tidak, bolehlah kiranya diberi penjelasan. 

Carilah titik pertemuan dan persefahaman di antara dua golongan ini. Kalau ada yang salah, tegurlah dengan penuh hikmah dan rasa tanggungjawab. Kerana hakikatnya yang tua dan yang muda saling melengkapi. Yang tua harus ingat, mereka juga pernah muda dan yang muda harus ingat mereka juga akan tua. -SI



Saturday, 5 January 2013

Telah Kukatakan Padamu...

Telah kukatakan berkali-kali padamu...
bahawa hidup ini adalah sebuah cerita yang di dalamnya ada pelbagai rencah...
suka, duka, tangis, tawa, kejayaan...hatta kekalahan dan kegagalan juga adalah antara warna yang mencorakkan hidup ini....

Kerana seperti yang aku katakan dulu padamu...bahawa hidup ini bukan sebuah ceritera dongeng mengenai yang indah-indah sahaja...

Saat engkau terasa hidup ini payah..percayalah padaku bahawa itulah hidup...
Saat engkau terasa hidup ini sukar...dengarlah padaku bahawa itulah hidup...
Saat engkau terasa begitu banyak cabaran dan dugaan yang harus kau tempuh...aku harap kau masih ingat pesananku...itulah hidup...

Tetapi...

Setelah begitu banyaknya pesanan kutitipkan padamu...aku menjadi hairan sendiri kerana engkau masih lagi menangis mengira nasib hidupmu...

Setelah begitu banyaknya nasihat ku berikan padamu...aku menjadi hairan sendiri saat engkau terus-terusan mengira ujian dan kepayahan hidupmu...

Setelah begitu banyaknya cerita tentang hidup kuceritakan padamu...aku menjadi hairan sendiri bahwa engkau masih tidak mengerti apa itu hidup...

Ingin aku ulang untuk kesekian kalinya...yang payah-payah itulah hidup...

Dan telah kukatakan padamu bahawa...

Engkau punya pilihan...

Menjadikan dugaan itu sebagai sesuatu yang membakar semangatmu untuk lebih berjuang...
atau...
engkau akhirnya tunduk...kaku...menjadi batu...lemah lesu...dan terus tidak melangkah ke depan lagi...

Engkau punya pilihan...

Mencari jalan mengatasi ujian dan cabaran hidupmu...
atau...
memilih untuk terus duduk mengira nasib dan takdir...dan terus tidak melangkah ke depan lagi...

dan...aku masih hairan sendiri kerana setelah begitu banyaknya nikmat yang Tuhan berikan..sedikit ujian dariNya itulah yang engkau pertikaikan..seolah-olah engkau terlalu sempurna dan tidak layak diberi dugaan...

dan aku beristighfar sendiri...untuk kesekian kalinya...
kerana aku masih hairan lagi pada saat begitu banyaknya nikmat yang Tuhan berikan..yang tidak pula engkau syukurkan..yang masih dibilang-bilang adalah tentang hasratmu yang tidak Dia tunaikan...

dan aku terus hairan sendiri....
memikirkan betapa sukarnya mendamaikan engkau...
wahai HATI...

-SI









Saturday, 8 December 2012

Istanbul Aku Datang... ?

The Blue Mosque

Hagia Sophia

Hmmmm..kalau korang rasa entry ni ditulis untuk mengomen pasal filem ‘Istanbul Aku Datang...’ yang agak hangat diperkatakan baru-baru ni, hmmmm... berkemungkinan besar tekaan tu agak meleset :P Actually, sengaja tajuk ini dipilih kerana ia berkait dengan apa yang terjadi semasa menonton filem tersebut. hehe

Btw, sebelum meneruskan tulisan ini, korang mesti tertanya2 kan kenapa saya pergi menonton filem ‘Istanbul Aku Datang...’ ni. Haha. Sure ada yang tergelak, kerana merasakan jiwangnya saya kerana menonton filem komedi romantic remaja arahan Bernard Chouly ni. Saya actually tak la jiwang sgt (cuba menafikan sekeras-kerasnya...harap2 berjaya...ahaks).

Well, kalau korang nak tahu, itu lah salah satu tip mengekalkan keremajaan. Dengan berlagak muda.. dan menyukai sesuatu yang disukai oleh orang muda. (hahaha..betulke??) Hmmm...tapi sy mmg masih mudapun...kan.. Kalau tak, takkan sampai sekarang ramai yang masih ingat saya student (walaupun saya mmg pun masih student-postgrad PhD) ahaks... (sorry statement agak poyo..terimalah hakikat walaupun pahit...oppss..hehe :P) Tapi....thats d fact apa...smlm ada sorang student ni (I dont know her n she doesnt knw me of cos) bahasakan dirinya kakak dan memanggil saya adik...wah..nak pengsan dengar!!! Tetiba diriku seperti berada di awangan buat 3 minit...kehkehkeh

OK, berbalik kepada cerita kenapa saya menonton filem ini. Actually, kerana tiga sebab utama:-
The Turkish
Pertama; I love Istanbul so much!! The place, the foods or even the people. I had a great time when I was in Istanbul 2 yrs back. Dan Istanbul di eksploitasi dengan begitu baik sekali di dalam filem ni. Beautiful – dats d best word to describe Istanbul in this movie! Tak pernah jemu saya melihat Istanbul d kaca TV. Thanks to the cameraman for the great job done! Kedua; saya sangat mengagumi bakat lakonan Beto Kusyairi. Tidak pernah mengecewakan! Dan yang ketiga, saya nak tengok lakonan Tomok for d first time. Well, saya suka Tomok sejak dia mng 1 in a million dan penyertaannya dalam masterchef. Bagi saya, Tomok is very talented (in music) and sincere in what he’s doing. Dan dalam filem ni, tomok tidaklah terlalu menghampakan walaupun definitely tidak sehebat Beto mahupun Lisa Surihani. Takpe Tomok...ada masa lagi! Istanbul Aku Datang 2!! Yeahhh :P 

Overall, filem Istanbul Aku Datang boleh lah dikategorikan sebagai filem ringan ala Bernard Chouly (he is a talented director btw). Yang walaupun tidak terlalu bagus, tetapi jauh lebih baik dan meninggalkan filem2 ringan keluaran MIG. Opsss sorry Uncle David!

Ok, sekarang berbalik  kepada tujuan asal tulisan ini. Ada tiga subjek penting yang nak diutarakan. Pertama; student . Kedua; exam dan yang ketiga; masa depan.

Insiden ini berlaku semasa di dalam panggung ketika menonton filem ini. Saya duduk bersebelahan dengan sekumpulan students (saya tak pasti university atau kolej mana). Sepanjang menonton, kumpulan pelajar ini tidak habis-habis mengomen segala benda. Daripada lakonan tomok yang ala-ala kayu, kepada ketidak hensemen Beto. Juga sebutan huruf ‘R’ Lisa yang sehingga kini masih tidak sempurna. Mereka ketawa walaupun tidak perlu. Ketawa bagaikan Pontianak di malam bulan mengambang penuh. Sungguh memualkan!  Nasib baik tidak ada bangsa lain yang menonton filem ini. Kalau tak, sungguh malu saya bagi pihak mereka. Mereka tidak menghiraukan perasaan orang sekeliling. Membuat panggung itu seperti mak bapak mereka yang punya. Sungguh tak bertamadun dan tidak menghormati orang lain. Mereka tidak ada manner dan courtesy walaupun mereka adalah pelajar yang diajar untuk berbudi bahasa dan menghormati orang lain. Hmmmm...

Btw guys, itu belum lagi ceritanya...

Dalam dok menonton movie dan menahan hati yang sakit (kerana perangai budak-budak ni). Saya terdengar dialog ini datang daripada kumpulan pelajar tersebut..
.
A - “Eh kau bukan ada exam ke jap lagi?”
B - “A.ah”
A - “Habistu kau dah study habis ke?”
B -“Belum...alah...takpe!”

Keluar daripada panggung, dialog tersebut terngiang-ngiang di telinga saya. Saya terfikir sendiri, tidak risau kah mereka tentang masa depan sendiri? tidak tahukah mereka yang mana patut diutamakan? Tidak rasa bertanggungjawabkah mereka terhadap amanah yang dipikul?? Dan insiden ini, bukan kali pertama. Ada satu ketika dulu, di tempat yang sama. Saya terserempak dengan student2 saya sendiri. Saya tahu mereka sedang menghadapi Final Exam ketika itu. Saya bertanya kenapa mereka berada di situ dan menonton movie, padahal keesokan harinya mereka akan menghadapi peperiksaan penting dalam hidup mereka. Dengan selamba pelajar2 ini menjawab “ala sir, nak release tension la” Saya terkedu dan tersenyum kelat menahan rasa...Tidak puas hati dengan pelajar-pelajar ini, saya melihat keputusan exam mereka selepas selesai proses marking. Hmmm..tak cemerlang pun!!! Maksudnya apa??? Mereka tidak begitu bersedia untuk menghadapi exam. Tetapi mereka masih lagi boleh bergembira di luar atas alasan utk release tension. Guys, yang mana lg tension- study bersungguh2 sebelum exam atau mendapat keputusan yang teruk selepas exam?? Bersusah payah sekarang atau menderita di masa depan? (bak kata nabil-lu pikir laa sendiri)

Hmmm..saya teringat kata-kata sahabat saya; Nani Abdul Rahman (ketika ini Vice President HSBC Amanah Malaysia). Beliau merupakan antara pelajar yang paling pandai dalam sejarah university saya dulu. Ketika saya memberitahunya yang saya mengantuk dan terasa nak tidur (padahal keesokan harinya exam). Dia kata “macamlah kau tak boleh tidur puas-puas selepas exam nanti” Kata-kata yang penuh bermakna itu meninggalkan kesan yang bukan sedikit dalam hidup saya. Saya menjadi bersemangat untuk belajar ketika itu. Saya terfikir, kalaulah pelajar paling pandai di university, sanggup berkorban dan berusaha sedemikian rupa, siapalah saya untuk tidak melakukan perkara yang sama. P/S Thanx Nani for always helping me those days.

Maaf kalau saya agak tidak moden dalam perkara ini. Tetapi saya merasakan menonton movie di panggung atau semasa anda sedang menghadapi exam2 yang penting bukan lah satu pilihan yang baik. Kecuali lah, anda sememang betul2 bersedia dan tidak memerlukan last mnt revision (saya faham bahawa sesetengah subjek spt perakaunan memerlukan latihan yang berterusan dan kalau melakukan latihan berterusan anda mungkin tidak perlu melakukan last mnt revision) – dan atas alasan anda telahpun bersedia, mungkin anda boleh keluar bersuka2 atas alasan untuk release tension. Walau bagaimanapun. Saya masih merasakan ia bukanlah satu keputusan yang bijak untuk dibuat pada saat2 genting begini. Kalau sekalipun segalanya telah sempurna dan anda tidak memerlukan last minit revision (btw ada lagi ke org mcm ni-I meant yang tak study last mnt?) –kalau ada saya teringin nak berjumpa! :P, keluar bersuka-suka pada waktu begini kadangkala mengundang bencana - Beberapa students pernah kemalangan pada musim2 peperiksaan ketika membonceng motosikal atau memandu kereta. Guys, pada saat-saat genting begini segalanya boleh terjadi!

Maka saya mencadangkan agar para pelajar mengurangkan (kalau boleh menghentikan buat sementara waktu) kegiatan-kegiatan yang tidak begitu penting ketika saat2 genting begini. Saya selalu membebel kepada student2 saya “Kenapa pada masa ni jugak la semua benda2 lagha ni nak dibuat...simpanlah sikit untuk cuti nanti” (Sebab pelajar-pelajar akan bercuti panjang-sebulan atau lebih selepas exam akhir). Fikirkan masa depan anda! Tidak akan pernah rugi sekiranya anda berkorban hari ini untuk masa depan yang gemilang. Sebaliknya, kalau anda tidak melakukan yang terbaik sekarang (padahal anda tahu anda boleh melakukannya), dan akhirnya apa yang anda harapkan tidak menjadi kenyataan hanya kerana usaha yang tidak cukup, saya percaya anda akan terlebih menyesal di masa depan.

Kalau sekalipun anda berasa tension pada saat2 genting begini, cubalah lakukan perkara-perkara yang boleh menenangkan jiwa dan dalam masa yang sama mendatangkan keberkatan kepada perjuangan anda. Bercakaplah dengan orang-orang yang boleh memotivasikan anda. Banyakkan ibadah-ibadah sunat seperti membaca Al-Quran dan solat hajat. Dekatkan diri dengan Allah. Sesungguhnya hanya Dia yang bisa mendamaikan hati-hati yang gusar dan jiwa-jiwa yang yang tidak tenteram. Banyakkan berdoa kepadaNya kerana masa depan akhirnya milik mutlak Dia jua. Dan selalulah memohon restu kedua ibu bapa, kerana hidup tanpa restu ibu bapa adalah seperti berjalan dalam gelap tanpa cahaya. 

Guys....kisah ini mungkin nampak lucu pada pandangan anda. Kisah ini mungkin nampak kecil pada mata anda. Kisah ini juga mungkin menampakkan saya sedikit emosi dalam menzahirkan apa yang saya rasa. Tetapi, setiap kali saya perhalusi, saya menjadi sedih sendiri. Terkenangkan betapa mudahnya dan sambil lewanya anak bangsa saya memikul tanggungjawab dan amanah yang diberi. Saat orang lain begitu tekun dan bersungguh-sungguh dalam mengatur langkah untuk membina masa depan yang lebih baik...kita masih boleh duduk melihat saja. Kalau satu masa nanti orang lain jauh meninggalkan kita...jangan pula kita salahkan mereka dan mengatakan mereka mengambil hak kita. Kejayaan tidak datang bergolek. Kejayaan datang dengan langkah perjuangan yang panjang. – S.I